Jumaat, 9 Ogos 2019 | 3:07pm
- Gambar hiasan

Pengeluaran getah asli turun 16.9 peratus

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia pada Jun 2019 merosot 16.9 peratus bulan ke bulan kepada 36,957 tan berbanding 44,479 tan pada Mei 2019.

Jabatan Perangkaan dalam ‘Perangkaan Bulanan Getah Malaysia, Jun 2019’ berkata, pengeluaran NR juga turun 10.7 peratus berbanding 41,364 tan dicatatkan pada Jun 2018.

Katanya, jumlah eksport NR Malaysia adalah sebanyak 54,547 tan, turun 4.1 peratus daripada 56,850 tan pada Mei 2019.

China ialah destinasi utama bagi eksport NR dengan 61.3 peratus daripada jumlah eksport pada Jun 2019, diikuti Jerman (9.8 peratus), Amerika Syarikat (3.6 peratus), Iran (3.4 peratus) dan Korea (1.9 peratus).

“Stok getah asli dicatatkan pada Jun 2019 sebanyak 165,596 tan, turun 6.4 peratus daripada 176,972 tan pada Mei 2019,” kata jabatan itu dalam laman webnya hari ini.

Ia juga berkata harga purata Lateks Pekat adalah 496.61 sen sekilogram pada Jun 2019, naik 2.5 peratus manakala harga purata Standard Getah Malaysia 20 (SMR 20) turun 0.3 peratus kepada 623.92 sen sekilogram berbanding harga purata direkodkan pada Mei 2019.

Jumlah penggunaan NR tempatan adalah sebanyak 38,791 tan, merosot 10.9 peratus berbanding 43,529 tan pada Mei 2019.

“NR digunakan secara meluas dalam industri pembuatan sarung tangan dengan penggunaannya sebanyak 28,817 tan atau 74.3 peratus daripada jumlah penggunaan tempatan,” menurut jabatan itu.

-- BERNAMA

86 dibaca
Berita Harian X