Isnin, 15 Julai 2019 | 12:44pm

Pelabur asing pembeli bersih saham tempatan empat minggu berturut-turut

KUALA LUMPUR: Pelabur asing adalah pembeli bersih saham disenaraikan di Bursa Malaysia bagi minggu keempat berturut-turut yang berakhir pada 12 Julai, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, dana asing membeli RM84.9 juta bersih ekuiti tempatan minggu lalu berbanding RM230.2 juta seminggu sebelumnya.

MIDF berkata, dana asing adalah pembeli bersih bernilai RM15.90 juta Isnin minggu lalu dan pembeliannya meningkat kepada RM104.6 juta pada Selasa.

Aliran masuk asing susut lebih separuh pada Rabu dan Khamis masing-masing kepada RM42.5 juta dan RM51.2 juta.

Kelembapan dalam aliran masuk bersih dilihat lebih tinggi menjelang petunjuk hala tuju kadar faedah daripada Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell.

bagaimanapun, pembelian empat hari itu terhenti pada Jumaat apabila dana asing melepaskan RM129.3 juta.

"Sebahagian besar aktiviti jualan didorong oleh potensi pencairan pendapatan CIMB Group Holdings susulan cadangan terbitan bon boleh tukar oleh Khazanah Nasional," katanya.

Terkini setakat tahun ini, aliran keluar bersih asing dari Malaysia ialah RM4.35 bilion.

Public Bank merekod aliran masuk bersih bersih tertinggi sebanyak RM22.89 juta minggu lalu.

CIMB Group Holdings Bhd mencatat aliran masuk bersih kedua tertinggi sebanyak RM18.59 juta.

Bagaimanapun, Malayan Banking menyaksikan aliran keluar bersih terbesar sebanyak RM8.37 juta, disusuli Dialog Group yang mencatatkan aliran keluar bersih RM5.76 juta.

87 dibaca
Berita Harian X