Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:26am
KUALA LIMPUR 20 OCTOBER 2016. Bursa Malaysia Berhad building at Bukit Kewangan. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Bursa Malaysia dijangka uji paras 1,620 minggu depan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan untuk menguji paras rintangan semasa pada 1,620 dan paras rintangan seterusnya pada 1,650.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management bagi Asia-Pasifik, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata pandangan untuk jangka waktu terdekat itu mencadangkan KLCI akan terus berlegar di atas paras sokongan utama pada 1,600.

Katanya, prestasi semalaman Wall Street yang positif, penurunan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM), peningkatan harga komoditi dan pengenduran ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China akan merangsang sentimen positif pada minggu depan.

“Meskipun ketegangan perdagangan ketika ini akan memberikan kesan negatif ke atas ringgit berbanding dolar AS, pasaran tempatan kekal menarik dengan pasaran modal mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM2.1 bilion,” katanya.

Pada asasnya, pasaran tempatan terus berdaya tahan terhadap cabaran luaran dengan pelbagai sumber bagi pertumbuhan.

“Penyertaan negara kita dalam ‘Inisiatif Jalur dan Jalan’ akan memberikan kelebihan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi, sebagai pemangkin penting bagi pelaburan langsung asing dan kesinambungan kepada pasaran global.

“Untuk masa depan, OPR lebih rendah boleh menjadi faktor penting untuk merangsang ekonomi tempatan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Nazri Khan berkata, penurunan OPR dan penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur dan Bandar Malaysia akan memberikan nafas baharu kepada pertumbuhan ekonomi.

Katanya, di sebalik aktiviti pelaburan yang lemah, pasaran tempatan mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus pada suku pertama 2019.

“Ini sebahagiannya dipacu oleh peningkatan positif dalam sektor pertanian dan penggunaan firma persendirian. Ini memberikan impak positif kepada sektor pembuatan, serta perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Selaras perbelanjaan sektor swasta yang menggalakkan, BNM mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terus berkembang antara 4.3 peratus-4.8 peratus tahun ini.

Katanya, di sebalik pertikaian AS-China memberikan kesan ke atas ringgit berbanding dolar AS, pasaran tempatan kekal menarik, dengan mengambil kira aliran masuk bersih RM2.1 bilion dicatatkan dalam pasaran modal.

Nazri berkata, peningkatan tiga hari berturut-turut dicatatkan S&P 500 pada minggu ini menunjukkan hubungan perdagangan antara Washington dan Beijing akan reda.

“Kami percaya keputusan AS untuk melarang syarikat pembuat telefon China, Huawei daripada memasuki pasaran AS berkuat kuasa serta merta telah membayangi langkah sebelum ini untuk mengenakan cukai import ke atas kereta buatan Eropah,” katanya.

Secara keseluruhannya, kebanyakan saham di Bursa Malaysia adalah tinggi di sebalik kebimbangan semakin meningkat terhadap pertikaian perdagangan AS-China.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, penanda aras FBM KLCI turun 4.91 mata kepada 1,605.36.

Indeks FBM EMAS merosot 74.91 mata kepada 11,300.05, Indeks FBMT 100 menyusut 68.25 mata kepada 11,136.80 dan Indeks FBM EMAS Syariah turun 99.09 mata kepada 11,451.34.

Indeks FBM ACE turun 137.43 mata kepada 4,395.14 dan FBM 70 susut 223.73 mata kepada 13,855.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.31 mata kepada 16,562.87, Indeks Perladangan berkurangan 154.78 mata kepada 6,895.50, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menyusut 2.86 mata kepada 163.82.

Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 11.80 bilion unit bernilai RM9.41 bilion daripada 12.71 bilion unit bernilai RM9.87 bilion pada Jumaat lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 6.97 bilion saham bernilai RM8.65 bilion berbanding 8.02 bilion saham bernilai RM8.85 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.67 bilion unit bernilai RM427.70 juta daripada 2.54 bilion unit bernilai RM704.83 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE, bagaimanapun, meningkat kepada 3.22 bilion saham bernilai RM326.88 juta daripada 2.14 bilion saham bernilai RM301.87 juta sebelumnya. - BERNAMA

273 dibaca
Berita Harian X