Rabu, 15 Mei 2019 | 9:00pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) esok, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.1730/1760 berbanding dolar AS daripada 4.1690/1720 sewaktu ditutup pada Selasa.

Seorang peniaga berkata kalangan pengiat pasaran mengambil sikap tunggu dan lihat ketika prestasi ekonomi bagi suku pertama Malaysia dijangkakan lebih perlahan.

Bagaimanapun, katanya perkembangan positif rundingan Amerika Syarikat (AS)-China boleh menjadi faktor bagi menyokong ringgit.

“Mata wang negara-negara Asia yang bergantung kepada eksport dan terdedah kepada pertikaian perdagangan itu sebaliknya lebih kukuh berbanding dolar AS," katanya.

Selain itu, ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0471/0497 daripada 3.0466/0499 sewaktu ditutup pada Selasa dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8162/8193 daripada 3.8018/8048.

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3836/3891 daripada 5.3955/4011 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6729/6784 daripada 4.6843/6885, semalam.

-BERNAMA​

127 dibaca
Berita Harian X