Jumaat, 19 April 2019 | 7:05pm

Pelaksanaan semula Bandar Malaysia lonjak pasaran saham

PENGUMUMAN pelaksanaan semula Bandar Malaysia merangsang sentiment pelabur di Bursa Malaysia dengan penanda aras utamanya, FBM KLCI meningkat 0.14 peratus atau 2.34 mata untuk ditutup pada 1,622.07.

Putrajaya dalam satu kenyataan sebelum pasaran saham ditutup petang tadi, mengesahkan projek berkenaan akan digerakkan semula setelah dihentikan sejak Mei 2017.

“Faktor pelaksanaan Bandar Malaysia menjadi pencetus kenaikan pasaran sebelum penutup hari ini. Ia akan memberi manfaat langsung kepada sektor pembinaan dan pembekal bahan binaan,” kata seorang peniaga di Inter-Pacific Securities ketika dihubungi BH.

Beliau berkata, saham syarikat pembinaan berkaitan Bandar Malaysia iaitu Ekovest Bhd dan Iskandar Waterfront City Bhd (IWC) sudah mula melonjak sejak tengahari tadi.

IWC adalah syarikat pembinaan yang dijangka menjadi pemaju induk projek Bandar Malaysia.

Tokoh hartanah terkemuka, Tan Sri Lim Kang Hoo adalah pemegang saham utama dalam IWC dan Ekovest.

Ekovest mengakhiri dagangan dengan kenaikan lapan sen atau 13.56 peratus kepada 67 sen, manakala IWC ditutup pada RM1.02, meningkat 16 sen atau 18.6 peratus.

Berita Harian X