Jumaat, 22 March 2019 | 7:47am
- Gambar hiasan

Wall Street ditutup tinggi

NEW YORK: Saham teknologi diterajui Apple mendorong kenaikan di Wall Street.

Ketiga-tiga indeks saham utama Amerika Syarikat (AS) mengakhiri sesi dalam wilayah positif, dengan Nasdaq mencatat peningkatan lima hari berturut-turut, Dow mencatat hari terbaiknya dalam sebulan dan penanda aras S&P 500 ditutup kurang tiga peratus di bawah paras tertinggi sepanjang masa September.

Rabu lalu, Rizab Persekutuan mengejutkan pelabur dengan kenyataan bahawa ia tidak menjangkakan kenaikan kadar faedah pada tahun ini disebabkan tanda-tanda kelembapan dalam ekonomi AS.

Tetapi kebimbangan berhubung isyarat bank pusat itu diredakan oleh data Khamis.

Apple Inc menerajui sektor teknologi, meningkat 3.7 peratus menjelang pengenalan perkhidmatan penstrimannya yang dijangkakan minggu depan.

Pengeluar cip juga menyokong kenaikan saham teknologi selepas Micron Technology Inc meramalkan pemulihan dalam pasaran memori kerana berikutan ia melaporkan pendapatan suku tahunan yang lebih baik daripada jangkaan. Stok Micron melonjak 9.8 peratus.

Indeks Philadelphia Semikonduktor SE naik 3.5 peratus, kenaikan terbesar sejak akhir Januari. Indeks itu melonjak hampir 25 peratus setakat tahun ini.

Indeks Dow Jones Industrial naik 216.84 mata atau 0.84 peratus kepada 25,962.51.

S&P 500 menokok 30.65 mata atau 1.09 peratus kepada 2,854.88.

Nasdaq Composite menambah 109.99 mata atau 1.42 peratus kepada 7,838.96.

Daripada 11 sektor utama dalam S&P 500, semua kecuali kewangan mengakhiri sesi itu dalam wilayah positif.

Sejumlah 7.59 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.62 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X