Jumaat, 8 March 2019 | 10:44am

Ringgit rendah berbanding dolar

KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada dagangan pagi ini apabila laporan harga minyak dunia yang rendah memberi kesan kepada sentimen pasaran terhadap unit tempatan.

Pada 9.19 pagi, ringgit berada pada 4.0940/0980 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0860/0900 pada Khamis.

Seorang peniaga berkata penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent turun 0.5 peratus kepada AS$65.96 setong manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS susut 0.5 peratus kepada AS$56.39 setong.

“Harga minyak dunia yang lemah dianggap sebagai negatif bagi hasil minyak dan gas negara,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi RHB Research, Vincent Loo Yeong Hong berkata ringgit turun sebanyak 0.4 peratus berbanding dolar AS kepada 4.087 dalam minggu pertama Mac selepas meningkat 0.5 peratus pada Februari.

“Bagi asas tahun ke tahun, ringgit meningkat 1.1 peratus, melantun semula daripada penurunan 1.8 peratus yang dicatatkan pada 2018.

“Ringgit dijangka meneruskan trend pengukuhan ke arah RM3.80 berbanding dolar AS pada akhir 2019, berikutan jangkaan kelemahan dolar AS dengan kemungkinan Rizab Persekutuan AS tidak menaikkan kadar faedahnya susulan petanda pertumbuhan perlahan ekonomi AS,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali yen Jepun di mana ia turun kepada 3.6714/6753 daripada 3.6574/6619.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0072/0112 daripada 3.0108/0140, naik berbanding pound Britain kepada 5.3586/3647 daripada 5.3784/3853 dan menambah berbanding euro kepada 4.5812/5873 daripada 4.6209/6258.

-BERNAMA

Berita Harian X