Jumaat, 11 Januari 2019 | 6:05pm

Harga minyak dunia kekal kukuh

SINGAPURA: Harga minyak berada di landasan untuk mencatat keuntungan mingguan yang kukuh pada Jumaat berikutan kenaikan pasaran kewangan yang didorong oleh harapan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China bakal menamatkan pertikaian dagangan mereka.

Ia turut disokong oleh usaha OPEC mengetatkan pasaran menerusi langkah mengurangkan bekalan minyak.

Namun begitu, kenaikan dihadkan berikutan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada 2019.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$61.62 satu tong pada 0749 GMT, susut 6 cent, atau 0.1 peratus daripada semasa ditutup pada Khamis.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) meningkat 4 cent kepada AS$52.63 satu tong.

Brent dan WTI berada di berada di landasan untuk mencatat keuntungan mingguan kedua, selepas meningkat hampir lapan dan 10 peratus.

Pasaran mendapat sokongan daripada harapan bahawa perang dagangan antara Washington dan Beijing akan berakhir selepas kedua-dua negara itu mengadakan rundingan pada minggu ini dan rundingan seterusnya dijangka akan diteruskan pada bulan ini.

“Sentimen semakin pulih, dan rundingan dagangan terbabit membantu melonjakkan selera risiko sepanjang minggu ini.

“Bagaimanapun, butiran mengenai perbincangan itu masih tidak jelas sehingga kini,” kata Ketua Penyelidik London Capital Group.

Eksport minyak yang lebih rendah dari Iran sejak November lalu, apabila sekatan AS diteruskan, turut menyokong harga minyak mentah.

Namun begitu, kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi global masih berterusan, dengan pertumbuhan China pada 2018 dan 2019 dijangka ke paras rendah sejak 1990.

-Reuters

112 dibaca
Berita Harian X