Rabu, 26 Disember 2018 | 9:05pm
KETUA Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto Rohani Shukri

Penawaran dan penggunaan 2011-2015 meningkat 5.7 peratus setahun

KUALA LUMPUR: Jumlah penawaran dan penggunaan dalam ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.7 peratus setahun dalam tempoh lima tahun kepada 2015, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah penawaran dan penggunaan bernilai RM3.5 trilion pada 2015, meningkat daripada RM2.7 trilion pada 2010.

Dari segi penawaran, pengeluaran domestik adalah penyumbang terbesar sebanyak 78.1 peratus manakala import 20.6 peratus. Cukai bersih ke atas produk menyumbang sebanyak 1.3 peratus.

“Pengeluaran domestik didorong oleh sektor pembuatan dengan sumbangan 42.1 peratus (RM1.2 trilion). Penyumbang utama kepada sektor ini ialah pembuatan komponen dan papan elektronik (12.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan pengeluaran laporan Jadual Input-Output Malaysia 2015 pada hari ini yang memaparkan maklumat komprehensif mengenai arah aliran barang dan perkhidmatan dalam ekonomi.

Jadual ini adalah hasil utama Banci Ekonomi 2016 dan akan digunakan untuk mengasaskan semula indikator utama ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Indeks Perkhidmatan dan Indeks Pengeluaran Perindustrian.

Mohd Uzir berkata, sektor perkhidmatan menyumbang 41.8 peratus daripada pengeluaran di mana daripada peratusan terbabit, subsektor perdagangan borong dan runcit adalah pemacu utama dengan sumbangan sebanyak 10.9 peratus.

Jumlah import barang dan perkhidmatan pada 2015 adalah sebanyak RM728.8 bilion, berkembang 4.6 peratus setahun.

Daripada jumlah import itu, nilai import barang mencatatkan RM572.1 bilion atau 78.5 peratus pada 2015, manakala import perkhidmatan bernilai RM156.7 bilion.

Dari segi penggunaan, penggunaan akhir mencatatkan 53.8 peratus berbanding penggunaan perantaraan pada 46.2 peratus.

Penggunaan perantaraan pada 2015 adalah sebanyak RM1.6 trilion berbanding RM1.3 trilion pada 2010, merekodkan kadar pertumbuhan tahunan 5.2 peratus.

Sektor Pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar bagi penggunaan perantaraan (56.1 peratus), meningkat kepada RM917.6 bilion pada 2015 daripada RM720.3 bilion (2010: 56.8 peratus) pada 2010.

“Penggunaan akhir berkembang 6.2 peratus setahun untuk mencapai RM1.9 trilion berbanding RM1.4 trilion pada 2010. Eksport adalah penyumbang terbesar bagi penggunaan akhir iaitu 42.9 peratus diikuti penggunaan swasta pada 33.5 peratus,” kata Mohd Uzir.

Jumlah eksport barang dan perkhidmatan pada 2015 adalah RM817.4 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 1.9 peratus. Nilai eksport barang mencatatkan RM681.3 bilion (83.3 peratus) manakala eksport perkhidmatan meningkat kepada RM136.1 bilion.

Berdasarkan kepada laporan ini, Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) merekodkan pertumbuhan sebanyak 11 peratus setahun, meningkat kepada RM307.2 bilion pada 2015 daripada RM182.6 bilion pada 2010.

Sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada PMTK dengan 57.7 peratus atau RM177.4 bilion.

Jabatan Perangkaan berkata, pada 2015, ekonomi Malaysia mencapai nilai ditambah sebanyak RM1.1 trilion berbanding RM805.2 bilion pada 2010, meningkat 7.0 peratus setahun. - BERNAMA

Berita Harian X