Jumaat, 9 November 2018 | 4:44pm

Harga minyak global kembali stabil

SINGAPURA: Harga minyak kembali stabil, namun pasaran kekal lemah berikutan peningkatan bekalan dan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi yang perlahan.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) berada apada AS$65.61 satu tong pada 0741 GMT, susut enam cent dari penutup terakhir.

WTI berada di landasan penyusutan mingguan kelima, susut empat peratus untuk minggu ini.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$70.74 satu tong, naik 9 cent daripada penutup terakhir.

Bagaimanapun, Brent menghampiri penurunan tiga peratus untuk minggu ini, penyusutan lima minggu berturut-turut.

Kedua-dua Brent dan WTI menyusut hampir 20 peratus dari paras tinggi empat tahun yang dicapai pada awal Oktober lalu.

“Harga minyak, kini berada di pasaran yang lemah, selepas menyusut hampir 20 peratus dari paras tertinggi Oktober,” kata penganalisis pelabur Rivkin Securities, William O’Loughlin.

Penganalisis berkata, penyusutan harga minyak adalah disebabkan peningkatan bekalan, meskipun pelaksanaan sekatan AS terhadap Iran pada minggu ini, serta kebimbangan terhadap keadaan ekonomi yang perlahan.

“Memandangkan eksport Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meingkat, inventori terus bertambah dan ia memberi tekanan terhadap harga minyak.

“Kelembapan di ekonomi global kekal mencetuskan risiko kepada minyak,” kata penganalisis Bernstein Energy.

-- REUTERS

170 dibaca
Berita Harian X