Rabu, 10 Oktober 2018 | 2:51pm
- Gambar hiasan

Harga minyak global susut

TOKYO: Harga minyak menyusut pada Rabu susulan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan global.

Bagaimanapun, harga minyak disokong daripada penutupan hampir 40 peratus pengeluaran minyak mentah di Teluk Mexico akibat Taufan Michael.

Niaga hadapan minyak mentah Brent menyusut 21 cents kepada AS$84.79 satu tong pada 0434 GMT, selepas menokok 1.3 peratus semalam.

Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) West Texas Intermediate (WTI) menyusut 34 cents, atau 0.5 peratus, kepada AS$74.62 satu tong, selepas meningkat hampir satu peratus pada sesi dagangan sebelumnya.

IMF menyemak turun ramalan pertumbuhan ekonomi global untuk 2018 dan 2019 pada Selasa, menambah kebimbangan bahawa permintaan untuk produk minyak akan turut merosot.

IMF berkata, ketegangan dagangan dan kenaikan tarif import menjejaskan perdagangan, manakala pasaran baharu muncul bergelut dengan keadaan kewangan lebih ketat dan aliran keluar modal.

“Harga sedang meningkat pada masa yang amat baik memandangkan naratif pertumbuhan global yang semakin merosot,” kata ketua perdagangan Asia-Pasifik di OANDA, Stephen Innes.

Di AS, hampir 40 peratus pengeluaran harian minyak mentah berkurangan daripada telaga luar pesisir Teluk Mexico disebabkan pemindahan dan penutupan platform menjelang Taufan Michael.

Pengeluar minyak mentah memindahkan kakitangan daripada 75 platform ketika ribut melanda bahagian tengah Teluk Mexico yang kini beralih ke kawasan darat di Panhandle, Florida.

Terminal minyak mentah swasta terbesar negara itu, Louisiana Offshore Oil Port LLC, berkata syarikat berkenaan sudah menghentikan operasi di terminal marinnya.

-Reuters

Berita Harian X