Selasa, 14 Ogos 2018 | 2:49pm

Bursa Malaysia tidak berubah pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi hari ini keseluruhannya tidak berubah, tetapi dengan indeks barometer lebih kukuh berikutan minat belian dalam saham wajaran tinggi terpilih yang terajui Public Bank, kata peniaga.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.30 mata kepada 1,783.64 berbanding 1,783.34 pada Isnin.

Indeks dibuka 3.55 mata lebih rendah kepada 1,779.79 dan bergerak antara 1,778.20 dan 1,785.54 sepanjang sesi pagi.

Di pasaran yang lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 368 berbanding 358 dengan 381 tidak berubah, 776 tidak diniaga dan 20 lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.16 bilion unit bernilai RM987.81 juta.

Maybank Investment Bank Research berkata, krisis ekonomi di Turki telah menjejaskan sentimen dan akan terus menghantui pelabur.

"Bagaimanapun, saham teknologi dan berkaitan perladangan dapat menarik minat pelabur apabila ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Secara teknikal, kami menjangka FBM KLCI diperdagangkan antara 1,750 dan 1,785 hari ini. Sokongan berada pada 1,760 dan 1,709," katanya dalam satu nota hari ini.

Bagi saham berkaitan teknologi, Axiata naik tiga sen kepada RM4.46, Maxis untung enam sen kepada RM5.72 dan Digi menokok dua sen kepada RM4.58, manakala Sime Darby Plantations meningkat tiga sen kepada RM5.24 dan KLK menambah empat sen kepada RM24.72.

Antara saham berwajaran tinggi, Public Bank meningkat dua sen kepada RM24.40 dan Tenaga naik 10 sen kepada RM15.66.

Maybank rugi lima sen kepada RM9.83, manakala Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing turun tiga sen kepada RM9.06 dan RM5.86.

Bagi saham aktif, Vivocom naik setengah sen kepada empat sen, Frontken menokok empat sen kepada 78 sen dan Foundpac untung 2.5 sen kepada 45 sen.

Indeks Emas FBM menambah 6.04 mata kepada 12,620.88, Indeks FBMT100 naik 2.24 mata kepada 12,394.59 dan FBM 70 meningkat 3.23 mata kepada 15,404.82.

Indeks Syariah Emas FBM naik 13.93 mata kepada 12,771.54 dan FBM Ace meningkat 25.35 mata kepada 5,489.83.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan merosot 28.14 mata kepada 17,469.97 dan Indeks Perindustrian susut 12.92 mata kepada 3,229.75, tetapi Indeks Perladangan naik 29.94 mata kepada 7,640.31. - BERNAMA

Berita Harian X