Khamis, 26 Julai 2018 | 7:39pm

Kaunter syarikat berkaitan Khazanah terjejas

KUALA LUMPUR: Enam daripada 10 kaunter saham utama berkaitan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) di Bursa Malaysia mengalami penurunan ketara, menyebabkannya kehilangan kira-kira RM2 bilion daripada nilai gabungan pasaran dalam tempoh sehari.

Ini berikutan pengesahan dari Khazanah semua ahli Lembaga Pengarahnya termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar, menawarkan diri untuk meletak jawatan daripada menduduki kerusi Lembaga Pengarah syarikat.

Sebagai perbandingan, kerugian dalam permodalan pasaran Khazanah itu bersamaan dengan nilai pasaran dua syarikat modal kecil.

Axiata Group Bhd, kaunter dana kedua terbesar di Bursa Malaysia adalah yang paling teruk mengalami kerugian dalam indeks penanda aras utama sebanyak 3.93 peratus.

Kaunter berkaitan Khazanah yang turut mengalami kerugian adalah Malaysia Airports Holdings Bhd, Telekom Malaysia Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, UEM Sunrise Bhd dan UEM Edgenta Bhd.

Penurunan saham utama Khazanah itu bagaimanapun menyamai kenaikan FTSE Bursa Malaysia KLCI yang mengumpul 0.14 peratus dalam keuntungan harian dengan ditutup pada 1,766.23 mata.

Bagaimanapun, kaunter berkaitan Khazanah yang lain iaitu Time Dotcom Bhd menyaksikan lonjakan sahamnya sebanyak 1.12 peratus kepada RM8.14, Tenaga Nasional Bhd naik 1.48 peratus kepada RM15.10 dan IHH Healthcare Bhd meningkat 0.5 peratus kepada RM6.

Astro Malaysia Holdings Bhd pula ditutup mendatar daripada penutup pada Rabu.

Ketua Penyelidik MIDF, Redza Rahman, berkata kejatuhan ini bagaimanapun hanyalah bersifat jangka pendek.

"Semua syarikat tersenarai berkaitan Khazanah diuruskan oleh mereka yang profesional, termasuk syarikat yang mempunyai operasi antarabangsa seperti IHH Healthcare dan Axiata.

"Hanya terdapat sedikit pengurusan kanan Khazanah dalam senarai ahli lembaga pengarahnya.

"Oleh itu, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek, akan ada kesan minimum sekiranya operasi syarikat dijalankan dengan tadbir urus korporat yang baik," katanya kepada NSTP.

Redza berkata penyusunan semula peranan dan operasi Khazanah akan menjadi langkah yang terbaik boleh dijalankan syarikat pelaburan nasional itu.

"Dalam manifesto kerajaan ketika ini, salah satunya adalah penyusunan semula pengurusan syarikat berkaitan kerajaan.

"Ini adalah dengan matlamat meningkatkan peratusan pemilikan ekuiti Bumiputera, yang terpakai kepada syarikat swasta yang dimiliki oleh Khazanah," katanya.

Penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli pula menjangkakan peralihan kepimpinan pengurusan Khazanah akan berjalan lancar.

"Kami mengharapkan mereka yang akan dilantik kelak bagi mengambil alih pengurusan kanan dan ahli Lembaga Pengarah adalah individu yang berkebolehan, berpengalaman dan profesional," katanya.

Berita Harian X