Selasa, 10 Julai 2018 | 8:19am

Dow, S&P 500 catat sesi dagangan terbaik

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) menokok untuk ditutup tinggi, menyaksikan Dow dan S&P 500 mencatat kenaikan tertinggi dalam tempoh lebih satu bulan, yang mana saham perbankan melonjak menjelang laporan pendapatan lewat minggu ini.

Saham perindustrian, tenaga dan pengguna juga menokok ketara, manakala utiliti dan telekomunikasi di S&P antara yang mencatat penurunan terbesar.

Indeks perbankan S&P menokok 2.7 peratus, mencatat peratusan kenaikan harian terbesar sejak 26 Mac.

Indeks kewangan S&P 500 naik 2.3 peratus, menerajui kenaikan dalam kalangan sektor.

JPMorgan Chase & Co, Wells Fargo & Co dan Citigroup Inc dijadualkan mengeluarkan laporan kewangan Jumaat ini.

Dow Jones Industrial Average menokok 320.11 mata, atau 1.31 peratus, kepada 24,776.59.

S&P 500 menambah 24.35 mata, atau 0.88 peratus, kepada 2,784.17.

Nasdaq Composite naik 67.81 mata, atau 0.88 peratus, kepada 7,756.20.

Sejumlah 6.0 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.0 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya, demikian menurut data Thomson Reuters. - Reuters

Berita Harian X