Rabu, 28 March 2018 | 7:27pm

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan pengambilan untung berterusan dengan mengambil petunjuk daripada pasaran saham serantau, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.24 peratus, atau 4.58 mata untuk ditutup kepada 1,857.87 daripada paras penutup 1,862.45 pada Selasa.

Indeks utama turun 3.92 mata kepada 1,858.53 dan bergerak antara paras 1,855.12 dan 1,861.25 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran negatif dengan 652 kaunter rugi berbanding 251 kaunter untung, 360 kaunter tidak berubah, 648 tidak diniagakan dan 65 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.08 bilion unit bernilai RM1.81 bilion daripada 2.03 billon unit bernilai RM1.93 bilion pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, pasaran saham serantau turun susulan penurunan dalam sektor teknologi Amerika Syarikat (AS) yang membawa turun indeks utama.

Beliau berkata, isu seperti kontroversi yang menyelubungi syarikat media sosial, Facebook, yang dituduh gagal melindungi privasi penggunanya dan kemalangan membawa maut kereta pandu sendiri Uber baru-baru ini telah menyebabkan kerajaan AS mengetatkan peraturannya terhadap sektor teknologi.

"Kebimbangan ini telah menular ke Malaysia, selain daripada kebimbangan akan perang perdagangan antara AS dan China.

"Bagaimanapun, saya rasa ini hanya kesan sementara, kerana asas Malaysia kekal kukuh. Ringgit meningkat berbanding dolar AS dan harga komoditi mencatatkan prestasi baik dalam pasaran," kata peniaga itu kepada Bernama, hari ini.

Nikkei 225 Jepun turun 1.34 peratus kepada 21,031.31, Straits Times Index Singapura susut 1.44 peratus kepada 3,389.83 dan Hang Seng Index Hong Kong jatuh 2.50 peratus kepada 30,022.53.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank setiap satu turun dua sen masing-masing kepada RM10.50 dan RM23.96, dan Petronas Chemicals jatuh tiga sen kepada RM8.25.

Tenaga meningkat lapan sen kepada RM15.80, CIMB naik lima sen kepada RM7.17.

Dalam kalangan saham yang diniagakan cergas, Sapura Energy susut 4.5 sen kepada 50 sen, manakala Nexgram dan Tiger setiap satu turun setengah sen masing-masing kepada 4.5 sen dan 2.5 sen.

Indeks FBM Emas jatuh 57.27 mata kepada 12,992.85, Indeks FBMT 100 susut 48.58 mata kepada 12,788.04 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 53.58 mata kepada 13,159.91.

FBM 70 jatuh 117.04 mata kepada 15,450.58 dan FBM Ace susut 110.72 mata kepada 5,474.02.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun kepada 39.94 mata kepada 18,141.50, dan Indeks Perladangan susut 32.47 mata kepada 8,006.92.

Bagaimanapun, Indeks Perusahaan naik sedikit 1.31 mata kepada 3,229.25.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.44 bilion unit bernilai RM1.70 bilion daripada 1.31 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 318.77 juta saham bernilai RM48.79 juta daripada 401.70 juta saham bernilai RM67.26 juta.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 311.85 juta unit bernilai RM64.93 juta daripada 321.67 juta unit bernilai RM51.77 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 55.67 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (458.59 juta), pembinaan (63.63 juta), perdagangan dan perkhidmatan (609.20 juta), teknologi (48.24 juta), prasarana (6.86 juta), SPAC (31.46 juta), kewangan (42.52 juta), hotel (1.36 juta), hartanah (100.36 juta), perladangan (18.96 juta), perlombongan (90,100), REITs (12.94 juta), dan dana tertutup (sifar).

-- BERNAMA

Berita Harian X