Jumaat, 2 March 2018 | 9:17pm
CECILIA Malmström. - Foto AFP

Tiada sekatan minyak sawit - Pesuruhjaya EU

SINGAPURA: Tidak ada sekatan terhadap minyak sawit, kata Pesuruhjaya Perdagangan Kesatuan Eropah (EU), Cecilia Malmström.

"Belum ada lagi peraturan baharu. Malahan, import minyak sawit EU berkembang sebanyak 20 peratus tahun lalu," katanya selepas Perundingan Pesuruhjaya Perdagangan EU-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-16, di sini, hari ini.

Malmström berkata, apa yang dibincangkan di media dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan adalah satu frasa tertentu dalam pindaan undang-undang oleh Parlimen Eropah yang belum lagi dikuatkuasakan.

"Malahan, kami mengadakan perbincangan. Kami mengadakan perbincangan secara terbuka dengan rakan-rakan kami dari Malaysia dan Indonesia.

"Saya bertemu dengan menteri-menteri di sini dan saya memaklumkan perkembangan terkini kepada mereka mengenai cadangan perundangan itu, dan ia bukan keputusan akhir oleh Parlimen Eropah," kata Malmström, yang mengetuai delegasi EU di sini.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata beliau berpeluang bertemu dengan Malmström semalam dan membangkitkan isu cadangan EU untuk menghentikan secara berperingkat penggunaan minyak sawit dalam biofuel.

Mustapa berada di sini bagi menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-24 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan.

"Seperti yang saya katakan, tiada larangan, tiada sekatan dan perdagangan minyak sawit berkembang. Sudah tentunya, kami bekerjasama memastikan kelestarian produk ini, bahagian ekonomi paling penting bagi Malaysia dan Indonesia.

"Kami akan berusaha berbuat demikian dan kami mempunyai projek penting yang kami sokong. Saya tahu kedua-dua negara itu sedang berusaha menangani isu ini," kata Malmström.

Pada Januari, Parlimen Eropah mengundi memilih draf undang-undang bagi tenaga boleh diperbaharui yang mencadangkan penggunaan minyak sawit dalam biofuel dilarang bermula 2021.

Kesatuan itu memberi alasan bahawa penggunaan meluas komoditi itu akan menjejaskan matlamat Eropah untuk menghijaukan sektor pengangkutannya, sekiranya ia digunakan sebagai biodiesel.

Sebagai pengeksport minyak sawit utama dunia, kedua-dua Malaysia dan Indonesia akan menerima kesan daripada pelaksanaan langkah itu.

EU adalah pasaran eksport minyak sawit kedua terbesar bagi kedua-dua negara berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X