Jumaat, 2 March 2018 | 9:05am
Saham General Motors Co susut 4 peratus. - Gambar hiasan

Dow dan S&P 500 susut tiga hari berturut-turut

NEW YORK: Dow dan S&P 500 menyusut lebih satu peratus untuk tiga hari berturut-turut pada Khamis, susulan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata AS akan melaksanakan tarif import terhadap besi dan aluminium, menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan harga dan perang dagangan.

Penyusutan itu meletakkan Dow di lingkungan negatif untuk tahun ini dan mendorong Indeks Votaliti Cboe untuk ditutup pada paras tertinggi sejak 13 Februari, sekali gus menjejaskan pemulihan pasaran baru-baru ini selepas mencatatkan kejatuhan pada awal Februari.

Saham pembuat kereta dan pengguna besar lain besi dan aluminium mengalami penyusutan berikutan kenyataan Trump yang menyatakan AS akan melaksanakan tarif import sebanyak 25 peratus terhadap import besi dan 10 peratus pada aluminium yang diimport minggu depan.

Berikutan itu, saham syarikat besi dan aluminium AS melonjak tinggi.

Pada sesi dagangan semalam, saham General Motors Co susut 4 peratus, manakala Ford Motor Co menurun tiga peratus. Saham besi AS meningkat 5.7 peratus manakala saham Nucor menokok 3.3 peratus.

Boeing dan Caterpillar turut menyusut susulan pelabur bimbang terhadap kos bahan mentah yang lebih tinggi dan halangan perdagangan. Boeing susut 3.5 peratus dan Caterpillar menurun 2.8 peratus.

"Ia sentiasa menjadi kebimbangan mengenai tindak balas terhadap perkara ini. Apabila tercetus perang dagangan, ia akan mendorong kepada inflasi, kerana harga akan meningkat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Horizon Investment Services, Chuck Carlson.

Peningkatan inflasi dan hasil bon adalah kebimbangan utama apabila Wall Street mengalami kejatuhan semasa menamatkan Februari pada Rabu lalu, dengan Dow dan S&P 500 mengalami bulan terburuk sejak Januari 2016.

Dow Jones Industrial Average susut 420.22 mata, atau 1.68, kepada 24,608.98.

S&P 500 susut 36.16 mata, atau 1.33 peratus, kepada 2,677.67 manakala Nasdaq COmposite menurun 92.45 mata, atau 1.27 peratus kepada 7,180.56.

S&P 500 menyusut 3.7 peratus sejak ditutup pada Isnin. Penurunan semalam menandakan penyusutan sekurang-kurangnya satu peratus untuk tiga hari berturut-turut.

-REUTERS

Berita Harian X