Rabu, 21 Februari 2018 | 7:28pm

Malaysia terus komited raih sokongan terhadap minyak sawit

PUTRAJAYA: Malaysia terus komited untuk raih sokongan negara Kesatuan Eropah (EU) supaya tidak ada diskriminasi terhadap kelapa sawit susulan kempen anti-minyak sawit yang dijalankan selain meneruskan perbincangan dengan negara lain.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata hasil lawatan beliau bersama wakil kementerian menerusi Misi Rundingan Sawit Malaysia-EU ke Eropah selama lima hari baru-baru ini, lima negara besar kini memberi sokongan kepada Malaysia.

"Lima daripada enam negara ini memberi jaminan tidak akan menyokong diskriminasi terhadap kelapa sawit dan pada masa sama, kita akan meneruskan perbincangan dengan negara lain (yang belum membuat keputusan)," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon di pejabatnya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mah enggan menyatakan nama negara yang sudah memberikan sokongan itu, namun berdasarkan laporan media, antara negara yang sudah menyatakan komitmen tidak menyokong kempen anti-minyak sawit adalah Belanda, Sweden, Itali, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 633,232 hektar kawasan tanaman kelapa sawit di negara ini sudah mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam tempoh hingga Januari lalu.

Katanya, pensijilan itu diwajibkan kepada semua syarikat perladangan bagi memastikan minyak sawit keluaran Malaysia berkualiti tinggi serta mematuhi semua piawaian yang dikehendaki pada peringkat antarabangsa.

"Kawasan tanaman kelapa sawit yang menerima perakuan MSPO meningkat sebanyak 160 peratus jika dibandingkan pada Jun tahun lalu iaitu hanya 244,622 hektar yang mendapat pensijilan ini.

"Dalam tempoh sama hingga Januari lalu, sebanyak 59 kilang menguruskan hasil dan produk berasaskan sawit sudah menerima perakuan MSPO berbanding 22 Kilang hingga Jun tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 170 peratus," katanya.

Beliau berkata, perakuan MSPO diwajibkan dengan tempoh pelaksanaan mandatori hingga 31 Jun tahun depan bagi semua pemilik dan pengusaha ladang, manakala untuk pekebun kecil, hingga 31 Disember tahun depan.

Siew Keong berkata, beliau yakin lebih ramai akan menyertai skim pensijilan berkenaan dalam memastikan bukan saja akses terhadap pasaran produk sentiasa terbuka, malah untuk kelangsungan industri kelapa sawit.

"Langkah mewajibkan MSPO adalah usaha baik untuk semua pihak yang terbabit dalam industri berkenaan, sekali gus membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia komited terhadap isu kemampanan dan alam sekitar terutama susulan kempen anti-minyak sawit yang dijalankan di Eropah," katanya.

40 dibaca
Berita Harian X