Rabu, 21 Februari 2018 | 11:58am

Bitcoin melonjak hampir 100 peratus

NEW YORK: Bitcoin mencecah paras tinggi tiga minggu semalam, menghampiri kenaikan 100 peratus dari paras terendahnya tahun ini.

Kenaikan itu berikutan pemulihan berterusan selepas pengatur kewangan Korea Selatan mengubah sedikit pendirian terhadap mata wang kripto, yang mana sebelum ini menolak pertukaran mata wang digital.

Memetik penganalisis dalam agensi berita Yonhap, Korea Selatan, berkata gabenor Perkhidmatan Penyeliaan Kewangan Korea Selatan menyatakan kerajaan akan menyokong perdagangan mata wang kripto jika membabitkan transaksi biasa.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan laporan Yonhap.

Pengarah Urusan broker atas talian, UFX.com di Limassol, Cyprus, Dennis de Jong, berkata meskipun terdapat halangan peraturan penggunaan mata wang itu, termasuk pengharaman perdagangan di bursa, terdapat lebih banyak aktiviti membabitkan Bitcoin sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

"Laporan pagi ini, mengatakan Kerajaan Korea Selatan sedikit mengubah pendirian terhadap mata wang itu menyebabkan pembeli lebih yakin untuk membelinya," katanya.

Di bursa Bitstamp berpangkalan di Luxembourg merekodkan bitcoin mencecah paras tinggi tiga minggu pada AS$11,722.58, pada Selasa.

Ia naik 3.4 peratus pada AS$11,555.

Mata wang digital itu yang sebelum ini mencecah paras terendah AS$5,920 pada awal Februari tahun ini, kini melonjak hampir 100 peratus.

Menurut Canaccord Genuity menerusi nota penyelidikannya berkata, cara paling selamat untuk mendapatkan manfaat daripada kenaikan harga bitcoin ialah membeli dan menyimpannya untuk jangka panjang, namun untuk mencapai manfaat itu mungkin terlalu sukar.

-REUTERS

63 dibaca
Berita Harian X