Isnin, 12 Februari 2018 | 3:41pm

Bekalan mentah susut pada Januari

KUALA LUMPUR: Bekalan minyak sawit negara pada Januari 2018 susut 6.75 peratus kepada 2.55 juta tan daripada 2.73 juta yang dicatat pada Disember 2017, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Dalam kenyataan hari ini, MPOB berkata, bekalan minyak sawit mentah (MSM) berkurangan 5.72 peratus kepada 1.57 juta tan semasa tempoh terbabit, daripada 1.67 juta tan dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Stok minyak sawit diproses turun 8.37 peratus kepada 973,965 tan daripada 1.06 juta sebelum ini.

MPOB juga berkata pengeluaran MSM merosot 13.49 peratus kepada 1.59 juta tan pada Januari 2018 daripada 1.83 juta tan pada Disember 2017.

Pengeluaran isirung sawit kurang 10.03 peratus kepada 418,422 tan pada Januari 2018 daripada pengeluaran Disember 2017 sebanyak 465,062 tan, kata agensi itu.

MPOB berkata eksport minyak sawit meningkat 6.01 peratus kepada 1.51 juta tan pada Januari 2018 daripada 1.43 juta tan pada bulan sebelumnya.

Eksport oleokimia susut 3.52 peratus kepada 255,209 tan dalam tempoh itu, daripada 264,532 tan pada Disember 2017.

Eksport minyak isirung sawit turut berkurangan 40.03 peratus kepada 72,296 tan daripada 120,563 tan pada tempoh yang sama manakala dedak isirung sawit turun 1.72 peratus kepada 217,817 tan daripada 221,622 tan.

-- BERNAMA

22 dibaca
Berita Harian X