Jumaat, 2 Februari 2018 | 4:56pm

Nilai Bitcoin susut ke paras rendah sejak November

LONDON: Bitcoin, mata wang kripto terbesar dunia, mencatatkan kemerosotan sehingga 11 peratus, paras terendah sejak November.

Ia berikutan sentimen larangan pengiklanan mata wang kripto di Facebook selain peraturan baharu yang dikenakan dalam pasaran menyebabkan pelabur semakin bimbang.

Bitcoin merekodkan penurunan sehingga AS$9,022 (RM35,043) pada Khamis di bursa Bitstamp yang berpangkalan di Luxembourg, menjadikan mata wang digital itu jauh ketinggalan daripada paras tertingginya hampir AS$20,000 (RM77,684) yang dicapai pada Disember.

Ia susut lebih 26 peratus bulan lalu, prestasi bulanan terburuk sejak Januari 2015.

Selain itu, mata wang kripto lain seperti Ripple, iaitu ketiga terbesar dalam nilai pasaran serta Bitcoin Cash, turut mencatatkan penurunan dua angka dalam tempoh 24 jam terakhir.

Bagaimanapun, Ethereum sedikit meningkat pada hari berkenaan.

Tahun lalu merekodkan kenaikan besar-besaran dalam nilai mata wang digital dan menarik ramai pelabur baharu dalam pasaran sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Namun ada kenyataan rasmi mengatakan mata wang kripto itu banyak digunakan oleh penjenayah untuk 'mencuci wang' mereka (melakukan aktiviti haram).

Malah, India turut turut menyamakan pasaran mata wang maya itu sebagai skim Ponzi dan mengingatkan orang ramai tidak terbabit dengannya.

Menteri Kewangan India, Arun Jaitley, dalam Parlimen berkata, kerajaannya akan mengambil semua langkah untuk menghapuskan aset kripto yang dijalankan menerusi sebarang kegiatan atau sistem pembayaran yang tidak sah.

"Sentimen ke arah mata wang kripto mula beralih kepada negatif dari semua aspek," kata Fawad Razaqzada, penganalisis di FOREX.com.

Facebook dalam kenyataan di laman webnya berkata, pada minggu ini, pihaknya mengharamkan semua pengiklanan yang mempromosikan produk dan perkhidmatan kewangan yang sering dikaitkan dengan promosi mengelirukan seperti pilihan binari, tawaran duit syiling dan mata wang kripto.

Bagaimanapun, pengharaman itu tidak jelas sama ada ia akan menjejaskan semua iklan mata wang kripto di semua laman media sosial.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas daripada Facebook gagal kerana tidak dapat dihubungi. - Reuters

Berita Harian X