Khamis, 1 Februari 2018 | 3:30pm
KIM Dong-yeon.- Foto EPA

Korea Selatan kekalkan dagangan kripto

SEOUL: Menteri Kewangan Korea Selatan berkata, kerajaannya tidak bercadang menutup pasaran mata wang kripto.

Pengumuman itu adalah dialu-alukan pelabur yang bimbang pihak berkuasa mungkin mengambil tindakan tegas seperti langkah kerajaan China menyekat platform duit syiling maya.

Komen oleh Kim Dong-yeon itu dibuat selepas peniaga tempatan dan seluruh dunia dihantui komen bertentangan daripada pegawai rasmi kerajaan Korea Selatan yang menyatakan bahawa Seoul bercadang untuk mengharamkan pasaran syiling digital tempatan.

Korea Selatan adalah hab bagi dagangan mata wang kripto.

"Tidak ada hasrat mengharamkan atau menyekat (pasaran) mata wang kripto," kata Dong-yeon sambil menambah tugas segera kerajaan negara itu adalah untuk mengawal selia pasaran.

Memperkukuhkan niat Seoul untuk mengetatkan pasaran dilihat secara meluas sebagai bermasalah dan berisiko oleh pembuat dasar global.

Kastam Korea Selatan sebelum itu mendedahkan transaksi dagangan tukaran mata wang asing kripto haram bernilai hampir AS$600 juta (RM2.34 bilion).

"Kastam meneliti secara rapat dagangan tukaran asing secara haram menggunakan mata wang kripto sebagai sebahagian daripada pasukan petugas kerajaan," katanya.

Korea Selatan berada di barisan hadapan untuk pelaksanaan pengawal seliaan yang meluas dalam dagangan mata wang kripto kerana ramai penduduk tempatan, termasuk pelajar dan suri rumah, memasuki pasaran meskipun wujud amaran daripada pembuat dasar di seluruh dunia mengenai gelembung pasaran itu.

Seoul sebelum ini mempertimbangkan untuk menutup pasaran mata wang kripto, yang menyebabkan pasaran ke dalam krisis dan menjejaskan harga bitcoin.

Pegawai kerajaan kemudiannya menjelaskan bahawa larangan secara terang-terangan hanyalah salah satu langkah yang dipertimbangkan, dan keputusan muktamad belum dibuat. - Reuters

45 dibaca
Berita Harian X