Isnin, 22 Januari 2018 | 7:09pm
DARI kiri: Ketua Serantau Perdagangan Global dan Kewangan Asia Pasifik HSBC, Ajay Sharma, Mukhtar Hussain, James Cameron dan Candy Ho pada sidang media mengenai Tinjauan Asia dan Forum BRI 2018: Memanfaatkan Cita-Cita Global China di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

Malaysia kekal hab pelaburan menarik

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai hab pelaburan menarik di rantau ini, bagi pelabur asing khususnya dari China, kata HSBC Bank Malaysia Bhd.

Cabang bank multinasional terkemuka global itu berkata, projek pembangunan projek infrastruktur dijangka terus rancak dilaksanakan di rantau ini, menerusi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) oleh China.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mukhtar Hussain, berkata pasaran modal negara ini yang mendalam dan kukuh, kecairan yang tinggi dalam pasaran kewangan serta komitmen jitu kerajaan dalam melaksanakan projek memberi keyakinan untuk melabur di negara ini.

Lagipun, katanya, dasar ekonomi terbuka negara ini juga menjadi daya tarikan kepada pelabur.

"Malaysia berada dalam kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada pembangunan projek BRI," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Tinjauan Asia dan Forum BRI 2018: Memanfaatkan Cita-Cita Global China di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan, Ketua Penyelesaian Perbendaharaan Korporat, Ketua Global dan Greater China Pembangunan Perniagaan Renminbi Pasaran Global HSBC, Candy Ho dan Ketua Bersama Infrastruktur dan Kumpulan Hartanah, Asia Pasifik HSBC, James Cameron.

Berita Harian X