Selasa, 26 Disember 2017 | 8:52pm

Bitcoin catat pemulihan

SINGAPURA: Bitcoin mencatatkan pemulihan hari ini, meningkat 10 peratus untuk melebihi paras terendah minggu lalu, AS$12,000.

Bitcoin, mata wang kripto yang dikenali di seluruh dunia, susut hampir 30 peratus pada satu tahap Jumaat lalu kepada AS$11,159.93, dan walaupun pemulihan lambat, ia mengalami minggu terburuk sejak 2013.

Pada 0445 GMT hari ini, harganya disebut harga sekitar AS$15,049 di Bursa Bitstamp yang berpangkalan di Luxembourg.

Mata wang digital itu dianggarkan meningkat 20 kali ganda sejak awal tahun, naik lebih rendah daripada AS$1,000 hingga AS$19,666 pada 17 Disember di Bitstamp dan melebihi AS$20,000 di bursa lain.

Namun ia mencatatkan penyusutan sejak tarikh berkenaan.

Walaupun pelabur bitcoin dan penganalisis percaya bahawa penyusutan terhadap nilainya adalah pembetulan semulajadi berikutan kenaikan harga, terdapat juga amaran lanjut daripada pengawal selia pasaran dan bank pusat. 

"Tidak ada harga semasa yang mencerminkan penilaian semasa yang tepat.

"Mengambil keuntungan adalah betul, manakala membeli mengikut ramalan jangka masa panjang juga adalah betul. Kita tidak perlu sentiasa betul dalam pasaran ini, cuma kurangkan salah daripada yang lain," kata Pengasas Bersama CPSS yang berpangkalan di Singapura, Andrei Popescu.

Pengerusi Israel Securities Authority, Shmuel Hauser, berkata beliau akan mencadangkan peraturan melarang syarikat berasaskan bitcoin dan mata wang digital lain untuk berdagang di Bursa Tel Aviv.

Bank Pusat Singapura pada minggu lalu mengeluarkan amaran mengenai pelaburan terhadap mata wang kripto, dan menganggap kenaikan harga mereka didorong spekulasi dan risiko penyusutan harga adalah tinggi.

Harga bagi pesaing mata wang kripto, yang turut mengalami penyusutan bersama bitcoin minggu lalu, turut semakin pulih, dengan Ethereum, mata wang kripto kedua terbesar mengikut saiz pasaran, disebut harga sekitar AS$771, meningkat daripada paras terendah Ahad pada AS$689, namun masih jauh daripada paras tertinggi AS$900 yang dicapai minggu lalu. - Reuters

154 dibaca
Berita Harian X