Selasa, 12 Disember 2017 | 7:13pm
PENGERUSI Lembaga Pengarah PIJ Manufacturing, Rozan Mohd Sa'at (tengah) dan Pengarah PIJ Manufacturing, Sharifah Suziana Syed Ali (kanan) pada sidang media selepas memperkenalkan produk Aloeshafy. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

PIJ Manufacturing sasar jualan RM2j tahun depan

SHAH ALAM: PIJ Manufacturing Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan PIJ Holdings Sdn Bhd menyasarkan jualan RM2 juta bagi tiga produk berasaskan aloe vera jenama Aloeshafy pada tahun hadapan.

Pengarahnya, Sharifah Suziana Syed Ali, berkata tiga produk Aloeshafy adalah jus aloe vera, gel badan aloe dan set kecantikan dan penjagaan wajah yang terdiri daripada pencuci muka, penyembur muka dan gel pelembab muka.

"Produk Aloesyafy diperbuat daripada pati aloe vera Barbadensis Miller iaitu spesis aloe vera yang terbaik dunia. Tambahan pula, ia ditanam di ladang berstatus MyOrganic di Bio Desaru.

"PIJ Manufacturing juga adalah syarikat pertama dan peneraju dalam pengeluaran pati aloe vera di negara ini kerana kita menanam, menuai, mengekstrak dan memproses hasil tumbuhan berkenaan sebelum mengedarkannya ke pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Produk Aloeshafy di Ruang Event Space, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah PIJ Manufacturing Sdn Bhd, Rozan Mohd Sa'at; Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ), Zulkiflee Abbas dan Pengurus Besar Syarikat Kumpulan PIJ Holdings Sdn Bhd, Abdul Rashid Ismail.

Sharifah Suziana berkata, polisi keselamatan makanan serta kualiti produk menjadi keutamaan dan produk Aloeshafy mendapat akreditasi penting pengilangan iaitu IS0 22000: 2005, Analisis Bahaya Titik Kawal Kritikal (HACCP), Amalan Pengilangan Baik (GMP), pensijilan Halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

"Kami mula menanam aloe vera pada tahun 2012 di ladang organik seluas 48.5 hektar (120 ekar). Pada tahun 2015, percubaan pengeluaran pertama berjaya dilaksanakan dan pada awal tahun ini, kami mendapat semua akreditasi pengilangan," katanya.

Sharifah Suziana berkata, produk Aloeshafy dijual menggunakan kaedah ejen atau 'dropshiper' dan laman jualan atas talian menerusi LAZADA pada harga serendah RM39.90 hingga RM160.

Katanya, selain menumpukan jualan produk dalam negara, PIJ Manufacturing juga akan menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei.

14 dibaca
Berita Harian X