Selasa, 12 Disember 2017 | 7:00pm

Stok minyak sawit November meningkat

KUALA LUMPUR: Stok minyak sawit Malaysia pada November 2017 naik 16.02 peratus kepada 2.55 juta tan daripada 2.20 juta tan yang dicatatkan pada Oktober.

Stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat 20.98 peratus kepada 1.48 juta tan, pada bulan dalam kajian, daripada 1.23 juta tan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Menurut angka awal yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini, stok minyak sawit diproses juga menokok 9.74 peratus kepada 1.06 juta tan berbanding 972,914 tan bulan sebelumnya.

Pengeluaran MSM susut 3.29 peratus kepada 1.94 juta tan pada November daripada 2.00 juta tan yang dicatatkan sebelumnya.

Menurut MPOB, pengeluaran isirong sawit berkurangan 2.82 peratus kepada 484,878 tan pada November berbanding pengeluaran pada Oktober sebanyak 498,966 tan .

Dalam satu kenyataan, MPOB menyebut, eksport minyak sawit berkurangan 11.94 peratus kepada 1.35 juta tan pada November berbanding 1.53 juta tan pada Oktober, manakala eksport oleokimia turun 5.65 peratus kepada 240,998 tan.

Eksport minyak isirong sawit susut 14.55 peratus kepada 79,855 tan, tetapi dedak isirong sawit naik 52.95 peratus kepada 219,018 tan.

Pada November, eksport biodiesel melonjak 63.08 peratus kepada 9,087 tan. - BERNAMA

Berita Harian X