Rabu, 15 November 2017 | 6:42pm
KETUA Pegawai Eksekutif F&N Holdings Berhad, Lim Yew Hoe bersama sebahagian minuman seasons pada Majlis F&N Seasons berwajah baru di Sri Pentas Bandar Utama. - Foto Luqman Hakim Zubir

F&N lancar wajah baharu rangkaian minuman

KUALA LUMPUR: Mengutamakan keperluan dan kehendak pengguna yang menitikkan gaya hidup lebih sihat, F&N Seasons tampil dengan minuman tanpa pewarna tiruan dan diformulasi khas untuk kebaikan badan serta minda.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N Holdings Berhad, Lim Yew Hoe, berkata selain menggunakan bahan semula jadi seperti jus asli dan sebagainya, F&N Seasons juga tampil dengan minuman kurang gula, tetapi masih mengekalkan rasa yang sedap.

Katanya, ramai pengguna sering berprasangka minuman kurang gula itu tidak sedap, justeru F&N Seasons mengambil masa hampir setahun melakukan penyelidikan untuk memastikan rasanya tetap menjadi pilihan ramai pengguna.

"Kami juga melakukan penyelidikan dalam sembilan perasa resipi minuman ini supaya keinginan pengguna dapat dipenuhi sepenuhnya, selain pembungkusannya agar tampak lebih menarik.

"Di serata dunia, kesihatan dan kesejahteraan diri amat ditekankan dan rakyat negara ini semakin menyedari kepentingan membuat pilihan lebih sihat.

"Justeru kami percaya kesegaran rasa yang ada pada F&N Seasons akan menambat hati pengguna serta membawa perubahan lebih positif," katanya ketika melancarkan wajah baharu rangkaian minuman F&N Seasons, di Sri Pentas TV3, hari ini.

Pelancaran semula logo ini menampilkan wajah baharu sembilan minuman popularnya iaitu teh lemon ais, teh pic ais, teh epal ais, teh hijau jasmin, krisantimun, cincau, teh kundur, sengkuang cina dan susu soya.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks, Johan Ishak.

Selain itu, F&N Seasons juga menjalankan kolaborasi eksklusif dengan Media Prima Television Networks bagi memaksimumkan pemasaran menerusi platform rangkaian TV Media Prima.

Sementara itu, Johan berkata, Media Prima bangga dapat bekerjasama dengan sebuah peneraju jenama minuman di negara ini dan sekali gus membuktikan keyakinan F&N Seasons kepada rangkaian stesen televisyen ini.

"Ini adalah platform yang tepat memandangkan rangkaian penyiaran ini mempunyai jutaan penonton di seluruh negara," katanya.

Minuman F&N Seasons ini boleh didapati pada harga RM1.40 setin.

Berita Harian X