Jumaat, 27 Oktober 2017 | 9:37pm

Bajet positif untuk banyak sektor - Maybank

KUALA LUMPUR: Kumpulan Maybank melihat Bajet 2018 sebagai bajet yang positif bagi sektor penggunaan, infrastruktur, pelancongan dan kewangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Farid Alias, berkata bajet berkenaan masih menunjukkan objektif kerajaan dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan B40 untuk meringankan beban sara hidup dan menyokong perbelanjaan pengguna.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia, berkata pada masa sama, pihaknya gembira dengan pelbagai usaha diambil bagi membantu Malaysia dan rakyat untuk mempersiapkan diri terhadap cabaran masa hadapan.

"Ini termasuk membina pelbagai kemudahan logistik, menyedia dan mempromosi ekonomi digital, meningkatkan produktiviti dan automasi serta memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan dan pelaburan menerusi peningkatan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan pengkodan dalam sistem pendidikan dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Selain itu, usaha kerajaan membantu usahawan kecil dan sederhana melalui peruntukan dana dan pinjaman serta menyediakan pelepasan cukai untuk pasaran modal merangkumi pelbagai aktiviti, produk dan pelabur seperti ETF, waran berstruktur, pelaburan sosial dan bertanggungjawab, syarikat pengurus modal teroka dan pelabur budiman untuk pasaran modal amat digalakkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Farid berkata, pihaknya bersyukur dengan usaha kerajaan yang masih menggunakan pendekatan telus dalam pengurusan fiskal seperti yang dilihat menerusi peningkatan berperingkat pengurangan fiskal.

"Kami akui situasi ini sangat mencabar untuk dilaksanakan dalam persekitaran pasaran luar yang masih tidak menentu, namun pada masa sama cuba untuk mengurangkan kesan negatif terhadap pasaran tempatan dan rakyat," katanya.

INFO

- Golongan B40 ialah kumpulan isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860

Berita Harian X