Selasa, 17 Oktober 2017 | 3:29pm

Ford, PSA terajui penyusutan jualan kereta Eropah

PARIS: Pengeluar kenderaan Perancis PSA Group dan pesaing Ford dari Amerika Syarikat (AS) menerajui penyusutan dua peratus dalam jualan kereta di Eropah bulan lalu, demikian menurut data industri hari ini.

Pendaftaran September turun kepada 1.466 juta kenderaan di Kesatuan Eropah (EU) dan Kawasan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA), demikian menurut Persatuan Pengeluar Kereta Eropah yang berpangkalan di Brussels.

Gabungan jualan jenama PSA jatuh lebih lima peratus, dengan Peugeot, DS dan Opel/Vauxhall mencatat kejatuhan tahun-ke-tahun.

PSA mengambil alih Opel pada awal tahun ini dan pendaftaran jenama Jerman itu bermula sejak Ogos.

Jualan Ford jatuh 13 peratus kepada 93,288 kenderaan, manakala peneraju pasaran EU, Volkswagen, menyaksikan pendaftarannya susut 1.1 peratus, dipengaruhi kejatuhan 3.2 peratus dalam jenama VW.

Pengeluar kenderaan Asia mencatat prestasi lebih baik di Eropah bulan lalu, dengan jualan Toyota naik 1.9 peratus dan Nissan menambah 3.3 peratus.

Jualan kenderaan Hyundai naik 2.1 peratus manakala Kia melonjak 6.5 peratus. - Reuters

Berita Harian X