Sabtu, 14 Oktober 2017 | 7:30pm

Saham KL dijangka rendah minggu depan

KUALA LUMPUR: FBM KLCI dijangka didagangkan rendah minggu depan, dalam urus niaga berhati-hati, dengan indeks penanda aras bergerak antara 1,740 dan 1,750 berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan kadar faedah AS dinaikkan pada Disember, mendominasi sentimen dalam pasaran ekuiti.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata ada kemungkinan besar Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah negara itu pada Disember tahun ini, yang mana adalah faktor negatif kepada pasaran pesat membangun, termasuk Malaysia.

"Selepas melepasi paras sokongan 1,760, FBM KLCI dijangka menguji paras 1,740, yang purata gerakan 200 hari," katanya.

Pasaran tempatan juga menyaksikan aliran keluar dana asing sejak beberapa hari lalu, dengan minat beralih kepada negara jiran berikutan laporan terkini Bank Dunia mengenai ekonomi Malaysia yang antara lain menamakan Malaysia sebagai satu daripada dua ekonomi Asia dengan hutang isi rumah 'melebihi 70 peratus Keluaran Negara Kasar', katanya.

Namun, pasaran tempatan dijangka menyaksikan belian berganti-ganti daripada saham mewah kepada pasaran ACE dan saham murah, berdasarkan peningkatan dalam Pasaran ACE pada kadar tertinggi dalam tempoh dua tahun serta saham-saham teknologi yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun, katanya.

"Peningkatan dalam penyertaan runcit dalam saham-saham ini dalam pasaran tempatan dijangkakan dapat menampung pengaliran keluar dana asing," katanya.

Berdasarkan perbandingan mingguan, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI merosot 8.68 mata kepada 1,755.32 berbanding 1,764.0 pada Jumaat sebelumnya.

Indeks FBM Emas susut 17.95 mata kepada 12,579.69 dan Indeks FBMT 100 merosot 24.23 mata kepada 12,225.22.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 23.17 mata kepada 12,877.84, FBM 70 menambah 104.84 mata kepada 15,242.84 dan FBM Ace melonjak 256.96 mata kepada 6,922.74.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 54.91 mata kepada 16,520.62, Indeks Perusahaan meningkat 0.54 mata kepada 3,215.62 manakala Indeks Perladangan menokok 45.53 mata kepada 7,966.76.

Jumlah dagangan meningkat kepada 16.33 bilion unit bernilai RM10.05 bilion berbanding 12.29 bilion unit bernilai RM9.66 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 9.80 bilion saham bernilai RM9.06 bilion berbanding 7.86 bilion saham bernilai RM8.50 bilion.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 663.12 juta unit bernilai RM74.29 juta berbanding 734.60 juta unit bernilai RM84.73 juta pada Jumaat sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 5.83 bilion unit bernilai RM912.72 juta berbanding 3.66 bilion unit bernilai RM681.19 juta. - BERNAMA

Berita Harian X