Ahad, 10 September 2017 | 6:11pm

Jualan Shopee melonjak 5 kali ganda

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang yang berkembang pantas di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee mencatatkan lonjakan jualan lima kali ganda dengan nilai jumlah dagangan kasar (GMV) AS$3 bilion (RM12.7 bilion) sepanjang tahun ini berbanding tahun lalu.

Ia juga merekodkan lebih 50 juta muat turun di tujuh negara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Taiwan dengan senarai produk aktif melebihi 100 juta.

Bagi pasaran Malaysia pula, jumlah muat turun Shopee meningkat kepada empat juta dengan lebih 150,000 usahawan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, peningkatan itu disebabkan kempen "Hari Membeli-belah Dalam Talian 9.9" yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Beliau berkata, kempen itu berjaya melonjakkan jumlah jualan sehingga lima kali ganda dan tiga kali ganda jumlah trafik.

Melihatkan kejayaan besar kempen berkenaan, katanya, Shopee sekali lagi mengulangi kempen "Hari Membeli-Belah Dalam Talian 9.9" dengan menjanjikan tawaran yang lebih hebat.

"Ia membabitkan lebih banyak usahawan Shopee dengan ribuan produk yang akan dipromosikan menerusi kempen Jualan Harga Terendah Shopee.

"Dalam satu kaji selidik yang kami jalankan baru-baru ini ke atas lebih 7,500 responden, kami dapati rakyat Malaysia merancang pembelian dalam talian secara bijak dengan membandingkan harga sebelum mendapatkan sesuatu produk.

"Oleh itu, tahun ini kami menawarkan ribuan produk dari 20 kategori dan kami menjamin harga terendah di pasaran.

"Sekiranya anda menemui tawaran lebih rendah di platform lain, kami akan memulangkan perbezaan harga itu pada kadar 120 peratus. Ini komitmen kami kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

Ho berkata, pihaknya turut menawarkan pelbagai insentif lain termasuk Program Penghantaran Percuma Seluruh Negara dan Bayar Waktu Terima (COD).

Beliau berkata, pengguna boleh menikmati lebih banyak penjimatan dengan setiap pembelian.

Katanya, pihaknya yakin kempen "Hari Membeli-belah Dalam Talian 9.9" kali ini akan mencatat satu lagi sejarah bagi Shopee dengan menyasarkan pertumbuhan sehingga lima kali ganda.

"Semakin banyak jenama terkemuka bekerjasama dengan kami sebagai rakan e-dagang dan membuka kedai rasmi mereka sebagai sebahagian daripada strategi digital syarikat masing-masing.

"Dengan mengambil langkah itu, lebih banyak sumber syarikat boleh disalurkan kepada aktiviti pemasaran untuk meningkatkan jualan daripada menyediakan platform e-dagang sendiri," katanya.

Berita Harian X