Jumaat, 18 Ogos 2017 | 8:12pm
KETUA Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (tengah) bersama Pengerusi Brooke Dockyard Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg (kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua dari kiri) menyaksikan Majlis menandatangani kontrak EPCC dan EPCIC, untuk Projek Anjung Wellhead Platform diantara Brooke Dockyard dan Petronas Carigali Sdn Bhd, di Hotel Hilton Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Petros untuk runding royalti lebih tinggi

KUCHING: Penubuhan Petroleum Sarawak (Petros) yang dijangka beroperasi awal tahun depan adalah antara inisiatif kerajaan negeri untuk meneroka ruang bagi memperoleh lebih banyak royalti daripada hasil minyak dan gasnya.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata rundingan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus masih belum selesai berikutan ketidaktentuan ekonomi, selain harga minyak yang tidak stabil.

"Justeru, minggu hadapan saya akan menamakan lima Ahli Lembaga Pengarah Petros dan mereka ini akan bermesyuarat untuk memilih Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

"Bagaimanapun, masih di peringkat awal untuk memperincikan peranan sebenar Petros, ...ia akan diperjelaskan bila tiba masanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara PETRONAS dan Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke, di sini.

MoU berkenaan bagi membangunkan semula pelantar minyak Fasa 3 Bokor yang berada 45 kilometer barat laut Lutong Miri, yang bernilai RM480 juta.

Dalam majlis itu, PETRONAS diwakili Naib Presiden Pengeluaran, Pembangunan dan Aset Malaysia, Mohd Jukris Wahab, manakala Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke, diwakili Pengurus Besar, Norhizan Sazali.

Turut hadir, Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil; Presiden dan CEO Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berkata kerajaan negeri memahami peranan PETRONAS sebagai 'jurubank' kepada kerajaan Persekutuan, namun syarikat minyak negara itu juga perlu memastikan hak Sarawak turut diberikan secara adil.

25 dibaca
Berita Harian X