Rabu, 2 Ogos 2017 | 8:04pm

AladdinStreet tawar produk Halal dari Taiwan

KUALA LUMPUR: AladdinStreet, pasaran e-dagang produk premium dan halalan toyyiban pertama di dunia, menganjurkan Festival Halal Taiwan, bertujuan memberi pendedahan lebih mendalam mengenai produk Halal dari negara itu.

Pengasas bersama dan Timbalan Presiden Kumpulan AladdinStreet, Datuk Wesley Ong, berkata festival itu adalah anjuran kali pertama pihaknya membabitkan produk dari negara luar.

Katanya, sebanyak 120 produk dari 17 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Taiwan berada dalam portal itu sejak 15 Julai lalu.


Timbalan Presiden Kumpulan AladdinStreet, Datuk Wesley Ong. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin

"Jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa kerana kami bekerjasama erat dengan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Perdagangan Taiwan (CDRI) dalam mempromosikan produk halal dari sana ke portal e-dagang kami.

"Sebenarnya, selain mempromosikan produk halal dari Taiwan ke pasaran Malaysia, kami turut mempromosikan produk dari Malaysia ke pasaran Taiwan. Kerjasama ini adalah promosi dua hala.

"Festival ini penting bagi mempromosikan produk halal ke seluruh dunia kerana kami juga adalah portal e-dagang pertama yang mementingkan kualiti serta status halal sesuatu produk itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wesley berkata, pasaran produk halal kini semakin berkembang dan ia bukan saja menjadi keutamaan kepada negara Islam, tetapi turut diterima masuk oleh negara lain.

Beliau berkata, setiap produk yang dijual dalam portal e-dagangnya itu perlu mendapat kelulusan sijil pengesahan halal daripada negara asal produk itu yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Pasaran produk halal sangat luas dan dalam tempoh 12 bulan akan datang, pihak kami menyasarkan untuk memasuki 30 negara bagi mempromosikan portal e-dagang ini.

"Ketika ini AladdinStreet boleh didapati di Malaysia dan Singapura tetapi dalam masa terdekat akan memasuki pasaran China, Kazakhstan, Thailand dan Indonesia," katanya.

Sementara itu, wakil CDRI, Evy Chang, berkata PKS yang menawarkan produk halal dari Taiwan semakin meningkat dan sehingga kini sebanyak lebih 500 PKS berdaftar dengannya bagi mempromosikan produk halal mereka.

Katanya, industri PKS di Taiwan menyedari kepentingan halal dalam setiap produk mereka, terutama dalam pemasaran eksport produk ke negara luar.

Berita Harian X