Khamis, 20 Julai 2017 | 5:13pm

Malaysia, Indonesia bawa isu sawit ke WTO


KERAJAAN Sepanyol mengumumkan ia tidak menyokong sebarang tindakan mendiskriminasikan ke atas minyak sawit. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia merancang untuk membawa isu mengenai cadangan Kesatuan Eropah (EU) membendung import minyak sawit, di persidangan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO), kata kedua-dua negara dalam satu kenyataan.

Satu resolusi oleh Parlimen Eropah pada April lalu mencadangkan EU supaya menghentikan penggunaan minyak sayuran dalam biodiesel yang dihasilkan menerusi cara tidak mapan dan membawa kepada penebangan hutang menjelang tahun 2020.

Resolusi itu termasuklah minyak sawit, komoditi penting bagi Indonesia dan Malaysia yang menghasilkan hampir 90 peratus minyak sawit dunia.

Kenyataan itu berkata kedua-dua negara Asia Tenggara terbabit akan berjumpa pada hujung bulan ini bagi membincang dan menyelaras isu minyak sawit.

Ia termasuklah menganjurkan misi bersama ke Eropah untuk berhubung dengan pihak berkaitan dan mereka yang berkepentingan.

Kedua-dua negara itu akan menyelaras rancangan menerusi Lembaga Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), satu inisiatif bersama antara Malaysia dan Indonesia bagi bekerjasama dalam menguruskan bekalan dan menyokong harga.

"Malaysia dan Indonesia akan mempertimbang untuk membawa isu ini kepada WTO jika resolusi itu menjadi satu arahan daripada EU dan bersifat diskriminasi," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.

Industri minyak sawit berhadapan dengan kritikan meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia dikaitkan dengan penebangan hutan dan seringkali dituduh menjadi punca jerebu di rantau berkenaan.

Ia susulan cara pembakaran terbuka yang sering digunakan sebagai jalan mudah untuk membersihkan kawasan tanaman.

Awal bulan ini, Perancis berkata ia akan mengambil langkah untuk mengetatkan penggunaan minyak sawit dalam menghasilkan bahan api bio.

Malaysia menganggap langkah itu sebagai diskriminasi dan ia menambah akan menyemak semula dagangannya dengan Perancis manakala persatuan minyak sawit Indonesia berkata ia bimbang langkah itu akan disusuli oleh negara Eropah yang lain. - Reuters

31 dibaca
Berita Harian X