Selasa, 10 Disember 2019 | 2:23pm

Inflasi China tertinggi dalam lapan tahun

BEIJING: Harga pengguna di China meningkat pada kadar paling pantas dalam tempoh hampir lapan tahun pada November, apabila wabak demam babi Afrika menyebabkan harga dagingnya meningkat lebih dua kali ganda.

Indeks harga pengguna (IHP), pengukur utama inflasi runcit, mencecah 4.5 peratus pada November, kata Biro Statistik Negara, meningkat daripada 3.8 peratus pada Oktober dan kadar tertinggi sejak Januari 2012.

Kaji selidik penganalisis oleh Bloomberg News mengunjurkan kenaikan 4.3 peratus.

Wabak yang merebak sejak Ogos 2018 itu mengganggu bekalan daging babi di China, menyebabkan harga daging ruji itu meningkat 110.2 peratus bulan lalu.

Dengan ternakan babi di China susut kira-kira 40 peratus, pihak berkuasanya minggu lalu melancarkan pelan untuk mengembalikan pengeluaran ke paras sebelum wabak menjelang 2021.

Krisis itu turut menyebabkan harga daging lembu, daging kambing dan telur meningkat kerana pengguna beralih kepada sumber protein lain.

Sasaran inflasi pengguna China bagi 2019 adalah kira-kira tiga peratus.

Indeks harga pengeluar (PPI), barometer penting sektor perindustrian yang mengukur kos barangan di kilang, menunjukkan harga jatuh 1.4 peratus pada November.

Angka itu lebih tinggi sedikit berbanding jangkaan penurunan 1.5 peratus dalam pungutan pendapat Bloomberg News, namun masih lagi menandakan penurunan bulan kelima berturut-turut.

Ia menunjukkan kelemahan berterusan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.

-AFP

Berita Harian X