Jumaat, 6 Disember 2019 | 5:32pm

OPEC bincang kurangkan output minyak

VIENNA: Pengeluar minyak utama, Arab Saudi dan Russia akan cuba mendapatkan persetujuan pemotongan output minyak lebih besar oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) serta sekutunya, dalam usaha menyokong harga selain mengelak lambakan bekalan.

Kumpulan yang menggabungkan 20 pengeluar itu mempertimbangkan pemotongan tambahan 500,000 tong sehari (bpd) pada suku pertama 2020 untuk menjadikan keseluruhan 1.7 juta bpd, atau 1.7 peratus permintaan global, kata Menteri Tenaga Russia, Alexander Novak.

OPEC dan pakatan pengeluarnya, dipanggil OPEC+, mengeluarkan lebih daripada 40 peratus minyak dunia.

OPEC+ mengadakan pertemuan hari ini dengan tumpuan bagaimana pemotongan tambahan itu diagihkan.

Pemerhati OPEC menjangkakan kumpulan OPEC+ akan melanjutkan sekurang-kurangnya sehingga Jun 2020, namun Russia yang bukan anggota OPEC membantah langkah itu.

Pemotongan itu disasar dapat menyokong harga minyak mentah dan melindungi daripada lambakan bekalan, walaupun negara bukan anggota yang diterajui oleh Amerika Syarikat (AS) terus menambah pengeluaran.

OPEC dijangka menanggung 340,000 bpd pemotongan baharu dan pengeluar bukan OPEC tambahan 160,000 bod, kata seorang sumber.

Perbincangan OPEC pada Khamis di Vienna mengambil masa lebih daripada lima jam, menyebabkan pembatalan sidang akhbar dan makan malam gala untuk delegasi di Danube.

-Reuters

Berita Harian X