Rabu, 20 November 2019 | 7:13pm
‘Kereta Terbang’ atau super dron model UAS E-Hang 216 (EH216). - Ihsan Eastcap Bhd
Zakwanhafiz bergambar bersama Super Dron yang dibawa masuk oleh syarikatnya di Subang.
Zakwanhafiz (kanan) bergambar di bilik kawalan Super Dron.

Tiada peraturan sah ujian super dron mungkin dibatalkan

SUBANG: Malaysia masih belum mempunyai peraturan sah yang membolehkan dron atau kereta terbang menerbangkan penumpang.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada hasrat Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof untuk menaiki dan menguji super dron yang dijadualkan esok boleh direalisasikan.

Menurut pihak pengawal selia seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), ketika ini juga masih tiada sebarang peraturan dan jika ia digubal, ia berkemungkinan akan terlaksana dalam tempoh enam bulan akan datang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam juga menyatakan semua pihak perlu mendapatkan kelulusan CAAM bagi sebarang urusan membabitkan dron atau kereta terbang.

Super Dron atau ‘kereta terbang’ yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan bakal menjadi revolusi pengangkutan udara pertama di dunia. - Ihsan Eastcap Bhd

Redzuan di Dewan Rakyat kelmarin mengumumkan beliau akan menguji super dron pada Khamis (hari ini) dan mengundang beberapa ahli Parlimen menyertainya memandu uji kenderaan itu di Subang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga dijangka turut hadir bersama dalam pandu uji esok.

Super Dron yang bakal dinaiki Redzuan adalah hasil usaha sama EastCap Bhd yang bertindak sebagai pengedar sah dengan dua syarikat dari China iaitu eHang Intelligent Equipment Guangzhou (eHang) dan Strong Rich Holdings Limited.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari dalam temubual bersama BH semalam berkata, super dron itu bukan untuk penggunaan komersil sebaliknya ia digunakan untuk kegunaan tertentu seperti kegunaan pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan.

Beliau berkata, ketika ini juga masih tiada peraturan yang membenarkan dron diterbangkan dan membawa penumpang.

Zakwanhafiz mencuba Super Dron.

Ketika ini masih tiada peraturan yang membenarkan dron diterbangkan dan membawa penumpang.

Beliau berkata, pihaknya juga kini dalam proses menyiapkan dokumen berkaitan sebelum dihantar kepada CAAM untuk mendapatkan kelulusan dan penggubalan peraturan.

Katanya, peraturan itu dijangka dapat diluluskan dalam tempoh enam hingga lapan bulan akan datang, jika ia mendapat persetujuan Dewan Rakyat.

“Proses itu banyak, kami perlu menghantar dokumen dan proposal berkaitan bagi menjelaskan keperluan dan kepentingan super dron di Malaysia selain pengeluar super dron itu iaitu eHang juga perlu mengemukakan dokumen berkaitan keselamatan dan spesifikasi model yang bakal digunakan di Malaysia.

“Namun jika terdapat kerjasama antara kerajaan dan syarikat swasta seperti kini, saya yakin kita dapat menggubal peraturan itu pada tahun hadapan.

“Kami juga menyasarkan ia untuk kegunaan sektor tertentu seperti pihak keselamatan dan pelancongan. Ia bukanlah untuk kegunaan peribadi seperti kereta atau menjadi pengangkutan awam,” katanya.

Ketika mengulas mengenai beberapa isu berkaitan perancangan EastCap memperkenalkan Super Dron itu, Zakwanhafiz berkata pihaknya sentiasa bersikap terbuka dalam memberi penjelasan.

Ketika ini super dron berkenaan adalah versi import sepenuhnya (CBU) daripada pengeluar, eHang.

Beliau berkata, ketika ini super dron berkenaan adalah versi import sepenuhnya (CBU) daripada pengeluar, eHang dan jika kemudahan yang dirancang dibangunkan di Malaysia siap sepenuhnya pada tahun hadapan, ia akan menjadi dron versi pemasangan tempatan (CKD).

Mengenai dana super dron itu pula katanya, ketika ini ia dibiayai sepenuhnya oleh eHang sebagai sebahagian daripada pemasaran dan promosi kenderaan itu di Malaysia dan rantau ini.

“Seperti Proton X70 ketika ini adalah versi CBU dan barulah CKD. Begitu juga dengan super dron kami. Ia akan diubah suai mengikut keperluan yang ditetapkan oleh CAAM kelak.

“Ia juga menggunakan sepenuhnya dana swasta dan tidak membabitkan dana kerajaan kerana ia adalah inisiatif syarikat korporat,” katanya.

Berita Harian X