Jumaat, 15 November 2019 | 8:32pm
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto BERNAMA

Sasaran pertumbuhan ekonomi 2019 mampu dicapai

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.7 peratus bagi tahun ini berdasarkan prestasi petunjuk ekonomi utama kini yang menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi negara lebih baik.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata antara petunjuk ekonomi itu adalah kadar pertumbuhan Indeks Pelopor (LI) yang berada dalam fasa pengembangan bagi tempoh empat hingga enam bulan ke hadapan; serta Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) untuk sektor pembuatan yang meningkat kepada 49.3 mata pada Oktober 2019, paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata, bagi suku ketiga tahun ini, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.4 peratus disokong oleh aktiviti domestik yang menggalakkan, terutama penggunaan swasta.

Katanya, kedudukan sektor luar kekal mapan dengan jumlah eksport bersih yang tinggi, membolehkan akaun semasa imbangan pembayaran terus mencatatkan lebihan.

“Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 50 mata asas kepada tiga peratus berkuatkuasa pada 16 November 2019.

“Langkah ini diambil untuk memastikan mudah tunai mencukupi dalam sistem kewangan domestik bagi menyokong kecekapan pasaran kewangan berfungsi seterusnya menggalakkan aktiviti ekonomi dalam negara.

“Justeru, pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh aktiviti permintaan domestik yang menyumbang lebih 90 peratus kepada KDNK. Pertumbuhan ini akan terus diterajui oleh penggunaan swasta terutama aktiviti berkaitan pelancongan domestik dan jualan akhir tahun sempena cuti sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan ekonomi global bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal dalam landasan yang kukuh.

“Memandangkan pertumbuhan ekonomi negara masih berhadapan dengan risiko ketidaktentuan ekonomi dan kewangan global serta sektor berkaitan komoditi,” katanya.

Berita Harian X