Jumaat, 15 November 2019 | 6:58pm

India, China berpotensi tambah import minyak sawit Malaysia

KUALA LUMPUR: India dan China berpotensi meningkatkan jumlah import minyak sawit Malaysia berikutan krisis perdagangan global yang belum menemui penyelesaian.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata peningkatan permintaan minyak sawit daripada dua negara itu turut bergantung pertumbuhan ekonomi dunia tahun depan.

“Saya berpendapat jika krisis perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China berlarutan, ada kemungkinan China akan meningkatkan import sawit dari Malaysia tetapi semuanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

“Jika ekonomi dunia merosot tahun depan, permintaan minyak sawit juga akan merosot,” katanya ketika dihubungi BH.

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kemungkinan untuk India dan China meningkatkan import minyak sawit Malaysia adalah besar, bagi mengurangkan kebergantungan kepada AS selain mengimbangi keperluan kedua-dua negara yang memiliki populasi terbesar dunia.

“Kemungkinan itu besar. Kedua-dua negara memerlukan bekalan dan pasti ada penambahan permintaan minyak sawit kita,” katanya.

Sementara itu, harga minyak sawit kekal melebihi paras RM2,500 setan hari ini disokong pengumuman pembekalan tambahan 2.5 juta tan ke pasaran India dan China, sekali gus menyaksikan permintaan komoditi itu terus mengukuh.

Bagaimanapun, kenaikan dihadkan oleh aktiviti pengambilan untung yang menyaksikan harga berlegar di paras sekitar RM2,500.

Semalam, Bohai Commodity Exchange (BOCE) Malaysia/ASEAN dengan Hakan Agro DMCC dari India serta BOCE Global dari China memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi penembusan permintaan tambahan pasaran sejumlah 2.5 juta tan minyak kelapa sawit dari Malaysia ke India dan China.

Menerusi MoU berkenaan, Hakan Agro DMCC, syarikat yang menguruskan rantaian bekalan utama komoditi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai rangkaian perniagaan luas di India bakal memberi komitmen untuk membeli lebih sejuta tan minyak kelapa sawit untuk pasaran India.

Berita Harian X