Jumaat, 15 November 2019 | 6:06pm
NOR Shamsiah Mohd Yunus bercakap ketika sidang media di Bank Negara Malaysia. - Foto BERNAM

BNM kaji langkah tingkat kecekapan pasaran

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus berhubung dengan penyedia indeks dan pelabur untuk mengkaji pelbagai langkah lain yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kecekapan pasaran.

Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata bank pusat itu sudah berusaha untuk menangani kebimbangan FTSE Russell seperti mewujudkan fleksibiliti yang lebih baik untuk pelabur luar pesisir melindung nilai kedudukan dalam negara serta jumlah transaksi tukaran asing semakin meningkat dan kos transaksi semakin menurun.

“Ini perkembangan positif dan FTSE Russell memperakuinya,” katanya pada taklimat media selepas mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga di sini, hari ini.

Pada September, FTSE Russell memutuskan untuk mengekalkan bon Malaysia dalam senarai pemantauan Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE dengan semakan semula pada Mac tahun depan.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata prestasi pasaran kewangan domestik pada suku ketiga bercampur-campur, sebahagian besarnya mencerminkan perubahan dalam sentimen pelabur dan minat terhadap risiko di tengah-tengah pertemuan dengan faktor luaran seperti ketegangan perdagangan yang semakin meningkat serta kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global.

Ini seterusnya menyediakan sokongan kukuh untuk aset selamat seperti dolar Amerika Syarikat (AS), dengan ringgit menyusut sebanyak 1.1 peratus berbanding dolar AS pada suku dalam kajian, sejajar kedudukan mata wang serantau.

Bagaimanapun, sejak Oktober, ringgit mengukuhkan 0.7 peratus kepada dolar AS berikutan aliran masuk ke pasaran bon domestik berikutan penurunan kadar faedah dasar oleh bank pusat global dan serantau, manakala bagi tempoh setahun hingga 14 November lalu, ringgit menyusut 0.5 peratus berbanding dolar AS.

Berita Harian X