Jumaat, 15 November 2019 | 4:04pm
GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada sidang media sempena pengumuman prestasi ekonomi suku ketiga 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pengurangan SRR bukan pencetus penurunan OPR

KUALA LUMPUR: Pengurangan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) daripada 3.5 peratus kepada 3.0 peratus baru-baru ini, tidak semestinya akan menyebabkan satu lagi penurunan kadar dasar semalaman (OPR).

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata Malaysia bukanlah berada dalam situasi ‘perlu’ untuk mengurangkan kadar faedah dan langkah-langkah yang diambil adalah mengambil kira perkembangan faktor luaran.

“Kita tidak berada dalam mana-mana ketetapan. BNM akan terus mengawasi perkembangan luar dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada prospek pertumbuhan dan inflasi domestik.

“BNM mempunyai pelbagai instrumen untuk menguruskan kecairan hari ke hari. Apabila SRR meningkat pada 2011, terdapat peningkatan jumlah kecairan yang datang daripada aliran masuk.

“Sejak beberapa tahun ini, struktur kecairan telah menurun, jadi tidak ada keperluan untuk menyerap lebih banyak kecairan secara kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengumuman prestasi ekonomi suku ketiga 2019 di sini, hari ini.

Pada 8 November lalu, BNM mengumumkan untuk mengurangkan nisbah SRR daripada 3.5 peratus kepada 3.0 peratus berkuatkuasa 16 November, tindakan yang mengejutkan beberapa pihak memandangkan bank pusat memilih untuk mengekalkan OPR pada kadar 3.0 peratus.

SRR adalah instrumen untuk mengurus kecairan dan selari dengan jumlah rizab minimum yang mesti dipegang oleh bank komersial.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, pasaran bon dan ekuiti domestik juga berdepan persekitaran tidak menentu kesan daripada faktor global.

Katanya, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup kepada 5.3 peratus kepada 1,584 mata pada akhir September.

“Prestasi lemah ini sejajar dengan trend serantau berikutan risiko global yang semakin memuncak memberi tekanan kepada indeks ekuiti pasaran baharu muncul,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pembiayaan bersih berkembang 4.8 peratus pada asas tahunan dalam keadaan pertumbuhan pinjaman yang sederhana.

Menyentuh mengenai prestasi ringgit, Nor Shamsiah berkata, ringgit menyaksikan penguncupan sebanyak 1.1 peratus berbanding dolar AS.

“Ia berikutan kegiatan menghindar risiko yang ketara dalam pasaran kewangan global pada suku ketiga disebabkan oleh persekitaran perdagangan yang semakin tegang dan kebimbangan prospek pertumbuhan global,” katanya.

Sejak Oktober, ringgit menambah nilai sebanyak 0.7 peratus berbanding dolar AS.

“Pada masa depan, ketidakpastian luaran akan terus mempengaruhi pergerakan mata wang serantau termasuk ringgit,” kata Nor Shamsiah.

Berita Harian X