Jumaat, 15 November 2019 | 3:59pm

Bank pusat China suntik dana pinjaman tambahan

SHANGHAI: Bank pusat China menyuntik tambahan 200 bilion yuan (RM118.2 bilion) melalui kemudahan pembiayaan jangka sederhana, kali kedua untuk bulan ini, sambil mengekalkan kadar pinjamannya tidak berubah.

Langkah menambah dana jangka panjang itu mengejutkan pasaran kerana bank pusat itu sudah pun menyuntik dana minggu lalu.

Beberapa peniaga berkata, suntikan tunai itu berkemungkinan adalah tindak balas terhadap kecairan lebih ketat dalam pasaran antara bank sejak semalam, yang meningkatkan kos pinjaman.

Ahli Ekonomi Hwabao Trust di Shanghai, Nie Wen, berkata suntikan dana melalui pinjaman MLF itu adalah bagi mengimbangi kekurangan kecairan meskipun selepas beberapa pemotongan nisbah keperluan rizab (RRR) setakat tahun ini.

Dalam jangka pendek, inflasi pengguna yang tinggi menghalang pembuat dasar daripada memotong kadar faedah dengan segera, katanya.

“Namun sekurang-kurangnya ia perlu mengeluarkan kecairan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, khususnya selepas data pinjaman kredit yang lemah bulan lalu,” kata Nie.

“Inflasi harga pengguna adalah tinggi, namun indeks harga pengeluar masih dalam lingkungan negatif. Kos pinjaman sebenar syarikat kekal tinggi.”

Pasaran memerhati dengan penuh minat sebarang isyarat tekanan kecairan selepas keputusan kerajaan mengambil alih sebuah bank di Mongolia dan menyelamat satu bank kecil tahun ini membangkitkan kebimbangan mengenai kedudukan beratus-ratus bank kecil di negara itu, apabila pertumbuhan ekonomi China perlahan ke paras terendah dalam 30 tahun.

People's Bank of China (PBOC) dalam laman webnya hari ini berkata, kadar faedah ke atas pinjaman MLF setahun kekal pada 3.25 peratus, paras sama seperti operasi sebelum ini.

Seorang peniaga di sebuah bank China berkata, suntikan MLF itu membayangkan penanda aras baharu, iaitu kadar pinjaman utama (LPR), berkemungkinan mengikut jejak dengan pemotongan lima mata asas Rabu depan.

-Reuters

Berita Harian X