Jumaat, 15 November 2019 | 3:52pm
GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Ekonomi suku ketiga berkembang 4.4 peratus

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 4.4 peratus pada suku ketiga 2019, disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan sektor utama yang lebih rendah dan penurunan dalam aktiviti perlombongan dan pembinaan.

Ia sekali gus menepati unjuran kebanyakan ahli ekonomi yang menjangkakan pertumbuhan lebih perlahan berbanding 4.9 peratus yang dicatatkan pada suku kedua lalu.

Pada suku pertama, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.5 peratus, sekali gus menjadikan pertumbuhan ekonomi untuk sembilan bulan pertama tahun ini adalah 4.6 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata perbelanjaan swasta yang berterusan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan.

Katanya, secara keseluruhan pertumbuhan pada tahun 2019 dijangka berada dalam unjuran ditetapkan BNM iaitu di antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus.

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh aktiviti sektor swasta khususnya perbelanjaan isi rumah, yang disokong pula oleh pertumbuhan berterusan dari segi guna tenaga dan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia suku ketiga 2019 di sini, hari ini.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.3 peratus pada suku ketiga 2019, berbanding 0.7 peratus pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan inflasi itu didorong oleh luputnya kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar antara Jun dan Ogos 2018.

Bagaimanapun, tegasnya pelupusan kesan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September menyumbang kadar inflasi yang lebih rendah pada bulan itu iaitu 1.1 peratus.

“Terdapat sumbangan yang sedikit kepada inflasi daripada produk bahan api pada suku dikaji apabila terdapat penurunan harga dalam RON97 di tengah-tengah harga minyak mentah global yang lemah,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, inflasi teras yang tidak mengambil kira kesan daripada perubahan dasar cukai penggunaan kekal stabil pada kadar 1.5 peratus.

“Permintaan tekanan inflasi terus stabil dan terkawal, di tengah-tengah ketiadaan tekanan gaji berlebihan dan kapasiti gantian dalam saham modal,” katanya.

Pada masa depan, beliau berkata, purata inflasi pada 2020 dijangka lebih tinggi daripada 2019 namun kekal sederhana.

“Jangkaan ini mencerminkan luputnya impak daripada perubahan dasar cukai penggunaan, pemansuhan harga siling bahan api dalam keadaan prospek harga minyak dunia yang lemah dan langkah dasar sedia ada untuk membendung harga makanan,” katanya.

Menyentuh mengenai pasaran pekerjaan, beliau berkata, keadaan pasaran pekerja kekal berdaya saing dengan kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus pada suku ketiga 2019 disokong oleh penawaran pekerjaan yang selari dengan pertambahan tenaga kerja.

“Jumlah pekerja bagi suku dikaji juga berkembang 2.1 peratus kepada 15.2 juta orang berbanding 15.1 juta orang pada suku sebelumnya,” katanya.

Berita Harian X