Jumaat, 15 November 2019 | 12:13pm

Harga minyak naik

TOKYO: Harga minyak mencatatkan kenaikan awal ketika mana tinjauan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berhubung permintaan minyak tahun depan menaikkan harapan bahawa pertumbuhan itu berserta rakan sekutunya akan mengekalkan bekalan apabila mereka bertemu untuk membincangkan dasar pengeluaran bulan depan.

Keyakinan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China tidak lama lagi akan memeterai perjanjian bagi menamatkan perang perdagangan juga meresap ke pasaran selepas penasihat ekonomi Rumah Putih, Larry Kudlow berkata kesepakatan "semakin hampir", memetik apa yang disifatkan beliau sebagai perbincangan yang sangat membina dengan Beijing.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 30 sen atau 0.5 peratus, pada AS$62.58 satu tong pada 0147 GMT, selepas susut sembilan sen pada Khamis.

Minyak mentah West Texas Intermediate naik 29 sen, atau 0.5 peratus, pada AS$57.06 satu tong, selepas turun 0.6 peratus pada sesi sebelumnya.

Suasana yang menggembirakan itu selepas OPEC semalam berkata, ia menjangkakan permintaan minyaknya susut pada tahun 2020.

Ini menyokong pandangan dalam kalangan pasaran bahawa terdapat kes yang jelas bagi OPEC dan sekutunya seperti Russia, secara kolektif dikenali sebagai 'OPEC+', akan mengekalkan had ke atas pengeluaran yang diperkenalkan bagi mengatasi lebihan bekalan.

OPEC+ pada 1 Januari mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.2 juta tong sehari, dan pada Julai, pakatan itu memperbaharui perjanjian itu sehingga Mac 2020.

Bagaimanapun, inventori minyak mentah AS meningkat minggu lalu sebanyak 2.2 juta tong, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA), melebihi unjuran kenaikan 1.649 juta tong oleh penganalisis dalam tinjauan Reuters.

Pengeluaran minyak mentah meningkat sebanyak 200,000 tong sehari kepada rekod mingguan sebanyak 12.8 juta tong sehari, kata EIA dalam laporan mingguannya. - Reuters

Berita Harian X