Jumaat, 15 November 2019 | 10:29am

American Airlines tamatkan perkongsian kod dengan Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: American Airlines tidak lagi akan menawarkan perkongsian kod dengan Malaysia Airlines susulan keputusan Pentadbiran Penerbangan Awam Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) yang menurunkan penarafan keselamatan udara Malaysia baru-baru ini.

Laman web pengembara FlyerTalk, memetik Pengurus Kanan Komunikasi Korporat American Airlines, Andrea Koos, sebagai berkata keputusan itu dibuat sebagai mematuhi penurunan penarafan oleh FAA.

“Kami sedang bekerjasama dengan pelanggan yang terjejas untuk merancang semula perjalanan mereka,” katanya.

Menurut FAA, garis panduan untuk mengekalkan klasifikasi Kategori 1 adalah jelas.

Bagi mengekalkan penarafan Kategori 1, sesebuah negara itu harus mematuhi piawaian keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), agensi teknikal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi penerbangan, yang menetapkan standard antarabangsa dan amalan yang disyorkan untuk operasi dan penyelenggaraan pesawat.

Bagaimanapun, FAA menentukan bahawa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) "kekurangan dalam satu atau lebih bidang" piawaian keselamatan penerbangan.

Kekurangan itu merangkumi "kepakaran teknikal, kakitangan terlatih, penyimpanan rekod, dan/atau prosedur pemeriksaan".

Penilaian FAA itu selesai pada April 2019, dengan perbincangan berhubung keputusan itu berlangsung tiga bulan kemudian.

Akibatnya, semua tiket perkongsian kod semasa bagi pesawat Malaysia tidak lagi sah.

Menurut laman web View from the Wing, American Airlines terpaksa mengakhiri semua operasi perkongsian kos dengan Malaysia Airlines yang adalah rakan kongsi Oneworld berkuat kuasa 11 November 2019, iaitu pada hari keputusan itu dibuat.

Berita Harian X