Jumaat, 15 November 2019 | 9:11am

Jerman elak daripada tergelincir ke dalam kemelesetan

FRANKFURT: Ekonomi Jerman dengan tidak disangka-sangka melantun semula pada suku ketiga apabila perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China reda sedikit, mengurangkan kebimbangan kemelesetan yang boleh menyeret turun zon euro yang lain.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Jerman, ekonomi terbesar di Eropah, berkembang 0.1 peratus pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya, apabila pengeluaran turun 0.2 peratus daripada suku sebelumnya, demikian menurut data rasmi yang dikeluarkan.

Sementara pertumbuhan pada suku dikaji tidaklah begitu teruk, ramai ahli ekonomi menjangkakan lebih buruk lagi.

Penyusutan pengeluaran sukuan kali kedua berturut-turut didefinisikan sebagai mengalami kemelesetan teknikal.

Perbelanjaan pengguna dan pembinaan yang kukuh, disokong pengangguran rendah dan kredit murah, lebih daripada mengimbangi penurunan pengeluaran industri, kata Pejabat Perangkaan Persekutuan Jerman.

Jerman terperangkap dalam perang perdagangan antara AS dan China, kedua-dua pasaran penting bagi kereta Jerman dan barangan industri lain.

Huru hara politik di Britain juga menambah ketidakpastian bagi perniagaan Jerman.

Bagaimanapun, eksport menokok pada suku ketiga apabila ketegangan itu reda.

"Kebarangkalian ‘hard Brexit’ atau peningkatan lanjut dalam perang perdagangan yang dicetuskan AS telah berkurangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini," kata pakar ekonomi Timo Wollmershäuser di Institut Ifo di Munich dalam satu kenyataan.

Angka-angka pertumbuhan mengambil sebahagian daripada tekanan dari Christine Lagarde ketika mana beliau memulakan tugas sebagai presiden Bank Pusat Eropah (ECB).

Ini bermakna, beliau tidak perlu mendorong langkah-langkah rangsangan tambahan, yang akan menjadi sukar kerana pembahagian dalam Majlis Perundangan bank pusat.

Tetapi prospek ekonomi Jerman masih mendung.

Walaupun adalah ekonomi utama Eropah, ia terikat dengan Itali dan Austria sebagai negara yang mencatat prestasi paling lemah di zon euro pada suku dikaji, demikian menurut angka yang dikeluarkan agensi statistik Kesatuan Eropah.

Keseluruhannya, 19 negara yang secara rasmi menggunakan euro berkembang 0.2 peratus pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya, kata agensi statistik itu, mengesahkan anggaran awal.

Pengeluaran kenderaan, tulang belakang ekonomi Jerman, bergelut untuk menyesuaikan diri apabila industri itu bergerak ke arah kereta berkuasa bateri dan teknologi memandu autonomi.

Daimler, pembuat kereta dan trak jenama Mercedes-Benz, berkata ia merancang untuk mengurangkan kos kakitangan sebanyak 1.3 bilion euro, atau AS$1.4 bilion, menjelang 2022.

Daimler tidak mengatakan berapa banyak pekerjaan yang akan dipotong, tetapi angka itu pasti beribu-ribu. - Reuters

Berita Harian X