Khamis, 14 November 2019 | 7:33pm
DR Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pertambahan permintaan dari India, China sokong harga sawit

KUALA LUMPUR: Pertambahan permintaan pasaran kira-kira 2.5 juta tan minyak sawit dari Malaysia ke India dan China dijangka terus memberikan sokongan positif kepada harga minyak sawit mentah (MSM).

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata harga minyak sawit mentah dilihat melonjak tinggi ke paras RM2,586 satu tan berikutan penurunan stok minyak sawit mentah ke paras 2.35 juta tan pada Oktober lalu, berbanding 2.44 juta tan bulan sebelumnya.

Justeru, katanya, pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Bohai Commodity Exchange (BOCE) Malaysia/ASEAN dengan Hakan Agro DMCC dan BOCE Global itu seharusnya memberi suntikan positif kepada sektor minyak sawit mentah negara.

“China dan India memang antara negara yang banyak mengimport minyak sawit mentah dari Malaysia berdasarkan data terkini menunjukkan eksport minyak sawit mentah ke China dan India adalah 1.89 juta tan dan 4.13 juta tan bagi 10 bulan pertama 2019.

“Angka itu mewakili 12.1 peratus dan 26.3 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit mentah,” katanya.

Perjanjian MOU itu disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.Melaluinya, Hakan Agro DMCC komited membeli kira-kira sejuta tan minyak kelapa sawit untuk pasaran India; manakala BOCE Global memohon kuota 1.5 juta tan minyak kelapa sawit bagi pasaran China tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, walaupun penganalisis meletakkan sasaran harga minyak sawit lebih rendah, namun penentuannya masih terdapat satu faktor lagi iaitu harga minyak soya yang kini turut meningkat berikutan pembelian minyak soya oleh China.

Katanya, ini kerana hubungan antara harga sawit dan minyak soya adalah rapat, iaitu peratusan saling hubung kait sekitar 90 peratus.

“Namun perlu berhati-hati, sekiranya rundingan dagangan antara China-Amerika Syarikat (AS) menemui jalan buntu dan China mengambil tindakan untuk mengurangkan import soya, bermakna harga minyak sawit mentah (MSM) boleh turun lagi,” katanya.

Berita Harian X