Jumaat, 8 November 2019 | 5:55pm
Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM turunkan nisbah keperluan rizab berkanun

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan nisbah keperluan rizab berkanun kepada 3.00 peratus daripada 3.50 peratus 16 November ini.

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, keputusan untuk mengurangkan SRR diambil untuk memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik.

“Langkah ini akan terus menyokong pasaran kewangan domestik untuk berfungsi dengan cekap serta memudahkan pengurusan mudah tunai yang berkesan oleh institusi perbankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kali terakhir BNM mengurangkan SRR adalah pada 2016.

SRR adalah instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan bukan menandakan pendirian dasar monetari.

Kadar Dasar Semalaman (OPR) ialah satu-satunya penunjuk pendirian dasar monetari yang diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.

Berita Harian X