Khamis, 7 November 2019 | 9:04pm

China, AS capai persetujuan batalkan tarif

BEIJING: China dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju secara berfasa untuk membatalkan beberapa tarif yang dikenakan semasa perang perdagangan selama beberapa bulan, kata Kementerian Perdagangan China.

Bagaimanapun, ia tidak memberikan butiran mengenai tempoh masa pembatalan berkenaan.

Satu perjanjian perdagangan interim antara kedua-dua negara dijangka akan memasukkan ikrar AS untuk membatalkan tarif yang dijadualkan pada 15 Disember ini bernilai kira-kira AS$156 bilion (RM643.36 bilion).

Ia membabitkan import China termasuklah telefon bimbit, komputer riba dan permainan.

Pembatalan tarif itu adalah syarat penting bagi mana-mana perjanjian, kata jurucakap kementerian, Gao Feng, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak secara serentak perlu membatalkan tarif ke atas barangan satu sama lain bagi mencapai ‘fasa pertama’ perjanjian perdagangan.

“Perang perdagangan bermula dengan tarif dan wajar berakhir dengan pembatalan tarif,” kata Gao pada satu taklimat media.

Nilai tarif yang dibatalkan bagi kedua-dua pihak untuk mencapai perjanjian ‘fasa pertama’ juga perlulah sama, namun jumlah yang akan dibatalkan boleh dirundingkan, katanya tanpa mengulas lanjut.

“Sejak dua minggu lalu, ketua perunding dari kedua-dua pihak sudah mengadakan perbincangan yang serius dan membina, bagi menyelesaikan pelbagai isu teras secara wajar,” kata Gao.

“Kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk membatalkan tarif tambahan dalam fasa berbeza, memandangkan kedua-dua pihak mencapai kemajuan dalam rundingan.”

Satu lagi isyarat yang mengukuhkan tahap keyakinan, agensi berita kerajaan China, Xinhua, semalam melaporkan bahawa Kastam dan Kementerian Pertanian mempertimbangkan untuk menghapuskan sekatan ke atas import daging ayam AS.

China melarang import daging dan telur ayam AS sejak Januari 2015 berikutan wabak selesema burung.

Isyarat Beijing bahawa fasa pertama perjanjian perdagangan dengan AS hampir dimuktamadkan membantu pasaran saham di Eropah mencatatkan paras tertinggi lebih daripada empat tahun.

Sementara itu, pulangan bon juga meningkat.

Seorang sumber sebelum ini memberitahu Reuters bahawa perunding China mahu AS menggugurkan tarif 15 peratus ke atas barangan bernilai AS$125 bilion yang berkuat kuasa 1 September lalu.

-Reuters

Berita Harian X