Khamis, 7 November 2019 | 8:21pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan (tengah) bersama Pengasas My Tradisi Premier, Fiona Ng menyaksikan pertukaran dokumen MOU, Pengerusi dan Pengasas My Preneurship, Nitesh Malani (kiri) dengan Pengerusi V Ultimate Wellness Berhad, Datuk Mohd Amir Abas pada Majlis Perasmian Pusat Urutan Tradisional My Tradisi Premier. NSTP/Nik Hariff Hassan.

Industri penjagaan kesihatan berpotensi terus berkembang

KUALA LUMPUR: Industri penjagaan kesihatan Malaysia berpotensi tinggi untuk terus berkembang selaras dengan perkembangan gaya hidup.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata industri berkenaan dijangka terus berkembang dipacu peningkatan kemampuan rakyat berbelanja untuk meningkatkan kesihatan dan penjagaan diri.

“Menurut Institut Penjagaan Kesihatan Global (GWI), industri ini dianggarkan bernilai AS$4.2 trilion (RM17.3 trilion) pada 2017 bersamaan 5.3 peratus daripada ekonomi dunia dan ia terus berkembang saban tahun.

“Secara fakta, industri ini kini melebihi separuh daripada perbelanjaan kesihatan global. Kita dapati Malaysia juga tidak ketinggalan berkembang sejak beberapa tahun lalu,” katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu My Tradisi Premier dan Ava Skin Premier di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia (MyPreneurship), Nitesh Malani dan Pengasas V Ultimate Wellness Bhd, Fiona Gan.

Mohd Redzuan berkata, pembangunan usahawan penjagaan kesihatan juga amat dititikberatkan selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030).

“Kita melihat semua bidang keusahawan yang berkembang dan ingin membantu dalam menentukan saluran yang tepat bagi membolehkan usahawan kekal berdaya saing,” katanya.

Selain pelancaran pusat penjagaan kesihatan, majlis memeterai kerjasama antara MyPreneurship dan V Ultimate Wellnes turut diadakan.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua entiti berkenaan akan mengenal pasti 50 hingga 80 calon untuk menyertai Hybrid Umbrella Scheme (HUS).

Di bawah HUS, semua calon akan menjalani latihan selama enam bulan dan ditempatkan di pusat penjagaan kesihatan milik V Ultimate Wellness.

Berita Harian X